Language

September 28, 2011

Berita itu merungkai tenang ku..



Aku masih terkasima

bagai petir memanah di depan mata ku

tetiba berita pemergiaan itu

merungkai tenang ku

kiranya...

ini sebuah realiti

air mata pun terperam dalam lipatan hati

tersembunyi dalam hangat yang terperangkap


aku masih di sini

menatap riang senyum yang tetiba menyengat

degup rindu yang tiada berpenghujung

teriring doa untuk mu adinda

tenanglah engkau dalam naungan Cinta Yang Maha Esa

semoga cahaya-cahaya mencipta taman

menerangi perjalanan di alam Baqa'

Al Fatihah...

buat mu Adinda Aswadi Ibrahim!


HanRahim: tiada kata yang dapat ku ucapkan, hanya doa untuk mu!






August 15, 2011

Separuh Jiwaku Melayang...

Assalamualaikum,
Beransur pulih sekarang. "Separuh Jiwaku Melayang".. begitulah aku yang tetiba sakit menjelang ramadhan, hingga sekarang aku masih belum berpuasa. Aku memang jarang sekali jatuh sakit, Alhamdulillah...di usia sekarang aku tidak mengidap sebarang penyakit samada Darah Tinggi, Kencing Manis atau lain-lain yang biasa di hidapi oleh kawan-kawan seusia ku. 2011 adalah tahun paling sibuk, berbagai projek ditawarkan membuatkan aku terus sibuk di tambah dengan permintaan kawan-kawan untuk melancung.
Persiapan menjelang ramadhan, aku bersiap dengan mengemas dan mengubah pasu-pasu bunga. Tidak itu sahaja, aku mengubah susunatur perabut di rumah sehingga tidak sedar 'compressor' aircond 2.5 pun ku seret. Puas dengan susunatur, seperti biasa setiap pagi aku exercise dan membuat senaman ringan. Pada ku agak ringan namun sepatutnya di usia ini aku seharusnya berhati-hati.

Aku akur, inilah kuasa Allah yang mahu menduga hambaNya. 1 ramadhan aku ke Hospital serdang kerana urat saraf tiba-tiba menjadi kejang. Setelah di beri 'pain killer' dan pil aku dibenarkan pulang.
2 ramadhan aku di bawa ke KPJ Seremban dan 'admitted' kerana sakit yang berulang. Setelah sakit baru ku sedar betapa bernilainya waktu sihat. Berbagai ujian dijalankan sehinggalah aku dibenarkan pulang pada ramadhan ke 6. Waktu itu selera makan terus hilang, berat badan tetiba menurun. Bayangkan seorang yang bergerak aktif tetiba terbaring dan diminta berehat sekurang-kurangnya 3 bulan untuk memulihkan kesihatan. Terasa betapa kerdilnya aku di sisi Allah yang Maha Esa. Sesekali di beri sakit terasa seolah-olah 'seluruh jiwa melayang'.

Seminggu sebelum umat islam menyambut Aidilfitri, terasa sakit berulang dan lebih kuat dari mula dulu.  Anak-anak sudah bersiap ingin pulang berhari raya ke rumah mertua, anak yang sulong pelawa aku berhari raya bersamanya di Temerloh.  "Hantar umi ke hospital" ringkas kataku.  Mereka cemas dan faham bahawa aku menahan sakit yang teramat.  Setelah berbincang adik beradik, Hidayah anak kedua dan suami hantar aku ke KPJ Seremban, dalam perjalanan dengan kelajuan 20kmsj, sakit buat aku rasa kereta sangat laju "janganlah laju" mintaku.  20kmsj aja Khairul bawa" kata Hidayah.

Tiba di KPJ, 8 orang menunggu untuk membantu angkat, keluarkan dari kereta dan naik ke 'stretcher', aku hanya angkat tangan mengatakan "jangan biar saya buat sendiri" kesakitan hanya aku dan Allah swt yang Maha tahu.

Doktor Pakar pelik, dia syor aku buat sekali lagi "injection pain killer", aku menolak dan minta dibuat MRI.  Kali ini MRI yang ke 3, barulah mereka mendapat jawapan.  Ada jangkitan di saraf belakang yang sedang aktif membengkak dan menanah.  Mendengarnya mata aku terbeliak dan bertanya "macam mana boleh terjadi".  Kata doktor "siapa-siapa pun boleh dapat, samada melalui makanan, udara dan najis".  Aku pasrah dan menyerah kepada Allah swt.

Doktor nasihatkan aku agar banyak berehat di katil saja, jangan banyak bergerak, pampers mula dipakaikan.  Pengalaman nak lepaskan air kecil pertama di atas katil bukan senang, lama mencuba akhirnya aku bangun dan berdiri tepi katil, lega. heee,,,eee (dah sihat bolehlah gelak), waktu sakit orang gelakpun kena marah.  Hadri anak ketiga menjaga aku di hospital dan Hidayah dan suami ulang alik dari rumahku di Mantin.  Alhamdulillah, moga anak-anakku tidak jemu dan lelah menjagaku selagi nyawa dikandung badan sekiranya aku sudah tidak berdaya, namun Ya Allah berilah aku kesihatan dan akal yang baik untuk meneruskan kehidupan dan janganlah diuji mereka dengan tidak mampu bagi mereka.



HanRahim: Ya..Allah semoga aku tenang/sabar dengan segala ujian Mu... Ameen!






June 30, 2011

Empat Mata Bersama Pak Engku..

Saya bukan memuji tapi inilah kenyataannya, sebenarnya lama dulu saya ingin bertemu empat mata dengan Pak Engku, namun hasrat ini saya pendam kerana saya sangat faham akan kesibukannya

Saya hanya ingin mencuri sedikit saja masa yang terluang dari Pak Engku, namun dia memberikan saya masa yang seluas-luasnya. Sangat jelas seorang yang berdidikasi, sangat gigih bekerja dan yang lebih penting seorang yang pemurah. Pemurah dalam berbagai segi. Lebih dua minggu lalu Pak Engku dengan bermurah hati memperkenan hajat saya untuk bertemunya. Dalam kesibukan yang teramat, jelas wajahnya nampak agak letih dan kurang sihat, dia sangat berbesar hati melayan saya. Bukan itu sahaja dia sempat menurunkan serba sedikit ilmu/pengalamannya sebagai panduan untuk saya melebar sayap sebagai Perancang Perkahwinan. Berhadapan dengan Pak Engku saya seolah-olah duduk di hadapan seorang guru yang benar-benar ikhlas memberi tunjuk ajar kepada seorang murid, pesannya lagi.."kalau siap tunjuk pada saya dulu". Nampaknya ada peluang kedualah nak jumpa dia.  Terima kasih Pak Engku, saya sangat terharu.

Saya tidak mahu mengganggu urusan Pak Engku, mahu segera balik, rezeki datang, saya dihidangkan makan tengahari ala kampung, siap dengan pemanis mulut. Sayang tak dapat upload gambar bersama Pak Engku...

Doa buat Pak Engku dan Family.. Semoga sentiasa di dalam Taufik dan Hidayah Allah, mendapat limpahan rezeki yang melimpah ruah... Ameeen!!!

HanRahim: Orang berbudi kita berbahasa, orang memberi kita merasa!

June 21, 2011

Bunga Rampai Malam Pengantin...

Masih tersimpan rindu untuk mu
sekian kali memejam mata
senyum itu singgah
dan rindu menghambat ku

Pernah satu ketika
engkau hadir bersama mekar kelopak mawar
memuja aku
membawa cinta
seharum...
bunga rampai malam pengantin

Tika engkau lepaskan tangan ku
bunga rampai itu kering bersama hati ku


HanRahim...

June 19, 2011

Selusuri Jalan-jalan Yang Pernah Kita Lalui...

Tiba di Airport Pulau Pinang Secara kebetulan aku tidak keseorangan di dalam 'flight' kerana bertemu seorang Pegawai Mara yang kebetulan menghadiri seminar di Equatorial Penang. Sebaik aku menyimpan novel yang di baca, dia terus duduk dan cuba menegur. Perbualan berterusan hingga kami berpisah kerana aku ingin segera check-in bersiap untuk satu majlis perkahwinan.

Beberapa hari sebelum belepas ke Pulau Pinang, kota yang sempat mencipta sejarah sepasang Pengantin Baru yang mencipta moment manis saat bulan madu. Itulah aku yang sangat teruja untuk segera tiba menyelesai kerja dan mengharap dapat menyelusuri jalan-jalan kenangan bersama arwah bekas suami. Kenangan itu sangat jelas di pandangan mata ku, jari jemari putih gebu seorang gadis melayu di hias inai merah menyala, mata-mata yang memandang senyum simpul kepada kami sambil berbisik... mungkin mengatakan "mereka baru kahwin".

Kami menghabiskan saat bulan madu di penginapan berhampiran Padang Kota Lama, tapi aku dah tak ingat nama hotelnya, kalau masih ada, pasti sebuah hotel yang agak usang kerana ditelan masa 30 tahun lalu. Berpegangan tangan, berderai dengan tawa ria aku dan suami duduk di benteng tepi pantai Padang Kota menikmati deruan ombak dan sesekali percikan air menyimbah kami. Inilah kemuncak cinta kami, kami jalani kehidupan selepas itu dengan amat bahagia, dia seorang suami yang sangat penyayang, menyayangi aku dan anak-anak sepenuh hati...

Usah di kesali perpisahan yang terjadi, selepas 24 tahun aku pasrah kira inilah ujian yang mendatang. Namun kenangan tetap segar di ingatan walau setahun lalu dia telah kembali menemui Sang Pencipta.

Nafsu akan selalu mengajak kepada kebinasaan
kawal lah ia dengan ingat selalu kepada Maha Pencipta
andai rasa lemah menyerang
ber udhu' lah dan bacalah Al-Quran
jangan di lepaskan
peganglah dengan teguh
mohon pertolongan Allah swt.
Dia pasti hadir memberi pertolongan
kepada hamba pilihanNya.
Aamiin!

Tika ini aku baru selesai 'breakfast' yang disediakan pihak hotel. Walau agak lewat balik malam tadi, seperti biasa mata akan terbuka menjelang subuh. Tengahari ini aku akan balik ke Kuala Lumpur. Allah telah memudahkan segalanya, malam tadi aku di temani seorang kawan yang secara sukarela menjadi pemandu pelancung.. terima kasih kepadanya yang sudi meluangkan masa menemani aku menikmati 'pasembur' meehoon sup di Padang Kota Baru, Alhamdulillah, sedap oooooo!

HanRahim: Onak duri biar berombak, adalah pentas menguatkan hati!

May 11, 2011

Sayang Mui!!



Sering kita mengatakan Segalanya dari Allah jua.. Redha akan segala ketentuanNya. 7 hari lalu aku di uji. Kebetulan hari agak panas, kasihan melihat Mui lesu dalam rumahnya, ku bukakan pintu dengan hasrat biar dia berehat di sekitar kawasan rumah. Seperti biasa Mui suka berteduh dan berehat di bawah pasu-pasu bunga. Mui yang comel pandai berlindung dari gangguan orang yang tidak dikenali atau pun kucing-kucing liar di sekeliling rumah ku. Hanya bila aku memanggil namanya baru dia akan keluar. Pada hari kehilangannya, puas dipanggil berkali-kali.....dia tidak kelihatan. Serta merta aku memberitahu jiran-jiran Mui hilang. Kelam kabut semua jiran tolong mencari Mui, puas keliling taman perumahan, longkang dan ceruk mana pun, namun Mui tidak di temui. Aku masih dapat bertenang, selepas 3 hari kehilangan Mui aku terasa sangat rindu, terbayang dia bermain di kaki ketika aku membaca, jelas di pandangan, besar badannya mengesel berbaring di tepi laptop untuk menarik perhatian ku. Hari-hari aku melaung nama Mui, dengan harapan dia mendengar dan balik ke rumah. Begitulah kasih sayang menguasai hati manusia. Dalam hati berkata bagaimana orang yang kehilangan anak... lebih lagilah kerinduan dan hati terus bertanya di manakah anak ku, makan kah dia, sihat kah dia... kalau mati mana kuburnya... Biarpun hati mengatakan segalanya adalah pinjaman semata, sebagai manusia biasa dengan jiwa dan rasa, perasaan itu kekadang terbawa dengan air mata... "Ya Allah berikan kami kekuatan, kami akui segalanya adalah kepunyaan MU". Terima kasih kepada jiran-jiran yang perihatin. Panggilan telefon mengatakan mereka telah temui Mui berkeliaran di kawasan perumahan di tepi hutan. Aku minta mereka cuba menangkap Mui kerana aku berada di luar kawasan untuk sampai mengambil masa 30 minit. Aku diberitahu mereka gagal menangkap Mui, kerana Mui akan lari jika di dekati. Tuhan saja yang tahu hati ingin cepat tiba dan menemui Mui. Sebaik tiba aku memujuk Mui, memanggil-manggil namanya dan dia datang menghampiri, aku menggosok-gosok kepalanya agar dia tenang, Mui dapat di tangkap dan ku bawa pulang... Alhamdulillah!



HanRahim: Benarlah... jiran itu saudara paling hampir.

April 17, 2011

Cinta Seorang Perempuan...

Andai lelaki tahu..Apabila seorang perempuan jatuh cinta, lelaki itu tidak semestinya punya segalanya tetapi lelaki itu adalah segalanya di hatinya. Andai lelaki tahu..Apabila seorang perempuan itu mengalirkan air mata, itu bukan bermakna dia lemah, tetapi dia sedang mencari kekuatan untuk terus tabah menyintai lelaki itu. Andai lelaki tahu.. apabila seorang perempuan marah, memang dia tidak mampu mengawal perasaannya tapi percayalah, itulah maknanya dia sangat mengambil berat dan menyayangi lelaki itu. Lihat saja pasangan yang baru bercinta, mereka jarang bergaduh. Tetapi percayalah semakin bertambah sayang mereka pada seseorang, semakin pula banyak pertelingkahan yang berlaku. Andai lelaki tahu..Apabila perempuan bercakap banyak, dia tidak pernah bermaksud untuk membuat anda rimas, tapi dia mahu lelaki mengenalinya dengan lebih dekat. Andai lelaki tahu.. apabila perempuan berkata dia mahu anda berubah, itu bukan bermakna dia tidak mahu menerima anda seadanya, tetapi dia mahu menjadikan anda lebih baik, bukan untuk dirinya, tetapi untuk masa depan anda. Andai lelaki tahu..apabila perempuan cemburu dan tidak percayakan anda, bukan bermakna dia tidak sayang..tetapi dia terlalu sayangkan anda dan masih mengangap anda anak kecil yang masih memerlukan sepenuh perhatian. Kadang-kadang dia terlalu risau sekiranya terlalu percaya, anda akan mengkhianati kepercayaan yang diberi. Naluri keibuannya sangat kuat. Dia hanya mahukan yang terbaik untuk anda. Andai lelaki tahu....apabila perempuan merajuk, jangan kata dia mengada-ngada. Dia bukannya mahu dipujuk dengan wang ringgit atau hadiah sedozen, tetapi cukup dengan perhatian yang boleh buat perempuan rasa dihargai. Andai lelaki tahu.....apabila perempuan jarang mengatakan ‘i love u’, itu tidak bermaksud dia tidak menyintai tetapi dia mahu lelaki itu merasai sendiri cintanya, bukan hanya hadir dari kata-kata tetapi juga melalui bahasa tubuhnya. Andai lelaki tahu..apabila perempuan kata dia rindu sama kamu, dia benar-benar maksudkannya. Apabila berjauhan, bayanganmu akan sentiasa bermain di mata. Andai lelaki tahu....apabila perempuan kata lelaki lain itu lebih baik dari kamu, jangan percaya kata-katanya kerana dia hanya mahu menguji kamu. Dia mahu melihat sejauh mana kamu sanggup menjadi yang terbaik di matanya. Walaupun sebenarnya memang kamulah yang terbaik di hatinya. Selagi dia dengan kamu, percayalah, walaupun perempuan menganggap masih ramai lagi yang lebih baik di matanya tetapi di hatinya, kamu tetap yang terbaik. Andai lelaki tahu...apabila perempuan menjadi degil, dia bukan bermaksud untuk menjadi degil tapi dia mahu melihat sejauh mana lelaki itu mampu bersabar dengan kerenahnya. Percayalah, hati perempuan itu sangat lembut. Andai kena caranya, jangan terkejut kalau akhirnya dia menukar fikirannya dalam masa sesaat. Andai lelaki tahu..Apabila perempuan berkata, “tolong tinggalkan saya!”, dia tidak bermaksud menyuruh anda pergi selamanya. Dia hanya mahu menenangkan fikirannya sebentar saja. Apabila dia kembali tenang, percayalah dia akan mencari anda semula. Itu tandanya dia benar-benar menyintai anda. Perempuan sukar untuk mengawal perasaan. Dia terlalu emosional. Tapi dialah yang paling menyayangi anda dan sangat sensitif dengan perubahan pada diri anda. Andai lelaki tahu.. Sememangnya Allah menciptakan lelaki dan perempuan itu dengan perbezaan yang tersendiri. Tetapi sekiranya mereka saling memahami, mereka akan saling melengkapi dan menyempurnakan. Perempuan itu diciptakan oleh Allah indah sekali. Di sebalik air matanya, tersimpan seribu satu kekuatan yang bakal menjadikan seorang lelaki itu merasa selamat bersamanya. Biarpun zahirnya perempuan itu tampak lemah tapi dia punya kekuatan tersendiri yang bisa menggoncang dunia dan mungkin bisa pula membuat lelaki menjadi lemah kerananya. Jadi hargailah kehadiran seorang perempuan dalam hidup anda kerana dia didatangkan bukan dengan kelemahan sahaja tetapi dia juga ada kekuatan untuk menyongkong anda dan membuatkan hidup anda lebih sempurna. Dialah yang bakal menjadi perempuan bekerjaya, isteri juga ibu yang terbaik untuk anak2 anda.

March 21, 2011

Surabaya 14 - 19/03/2011

Assalamualaikum,

Alhamdulillah, ke Surabaya bukan sekadar bercuti malahan lebih daripada segala jangkaan. Aku di pelawa untuk sama-sama menghadiri sambutan Maulidur Rasul di Pondok Pasentren Jati Purwo, Surabaya. Setiba di Airport Surabaya kami di bawa menaiki bas menuju destinasi. 1 jam perjalanan kami tiba di sebuah pekan kecil yang penuh sesak dengan kenderaan yang bersimpang siur. Bas yang membawa kami agak besar, kerana itu bas tersebut tidak dapat masuk, kami di minta berjalan kaki ke Jati Purwo.

Keesokan Harinya adalah kemuncak sambutan. http://www.youtube.com/watch?v=Q_fX7Rrnqjs&feature=rec-LGOUT-exp_fresh+div-1r-6-HM

March 2, 2011

Memandangmu lewat mata hati ku..



Dari jauh, aku memandangmu
Lewat semua mata hatiku
Dari jauh, aku mengagumimu
Lewat semua kisah tentangmu

Dari jauh, aku mengkhayalkanmu
Tanpa peduli kata hatiku
Dari jauh, kukirim do'a untukmu
Do'a tulus...
Doa munajat kepada Allah tuhan yang satu

Dari jauh, kulukis engkau dalam tidurku
Lewat beragam bunga tidurku
Dari jauh, aku titipkan hatiku padamu
Agar kau senantiasa setia padaku

Dekatlah sayangku dan pejamkan matamu
Izinkan aku menghayalkan engkau
di sepanjang lena ku

Lepaskan rindumu yang tersimpan
Biarkan hasrat cinta
Bersatu untuk selamanya
Janganlah ragu
Yakinlah diriku milikmu

HanRahim:
Cinta itu menuntut pengorbanan
Rasanya manis namun terasa pahit
Rasa Bahagia namun tersangat perit
Zahirnya seakan berkecai
namun batinnya bersatu
dalam cinta kudus yang mengasyikkan
Hanya segelintir yang sampai ke puncak!

February 28, 2011

Mencipta kelainan...




Seorang kawan bertanya, "apakah tiada menu lain selain Nasi Briani, Nasi tomato dan ayam masak merah untuk majlis perkahwinan"?.



Pertanyaan itu juga sentiasa berligar di fikiran ku selama ini. Melalui sentuhan yang sering memikirkan kelainan aku realisasikan di perkahwinan anak perempuan ke2, dua tahun lalu. Dari menu hinggalah susun atur majlis yang jauh berbeza dari Majlis Perkahwinan Melayu yang biasa kita lihat.

Aku inginkan sebuah majlis lain dari yang lain dan pastinya sebuah kelainan dalam suasana bersih dan lebih teratur. Dengan segala ilmu serta pengalaman aku mengarahkan semua kakitangan untuk melaksanakan impian ini.
Alhamdulillah, tepat masanya semua persiapan bagai di sebuah majlis eklusif. Dari khemah dengan juntaian daun-daun menjalar lampu-lampu yang bergemerlapan. Susunan pokok-pokok di tengah-tengah hidangan makanan yang beraneka termasuk kuih-muih dan pemanis mulut... Aku puas!
Perlu di ingat:
Mengadakan majlis begini mesti di kaji terlebih dahulu tambahan di tengah masyarakat melayu hari ini, yang menjadikan majlis keramaian sebagai sebuah majlis keluarga. Dengan jemputan seramai 500 orang di utamakan kepada jiran tetangga dan saudara terdekat sahaja. Sudah pasti dengan persiapan dan menu yang jauh berbeza tetamu umpama tidak mahu meninggalkan majlis, kebanyakan menjadikan majlis hari itu sebagai majlis santai bersama keluarga. Bayangkan kebanyakan nya tidak mahu berganjak dari meja hidangan, berulang mengambil makanan seakan berada di salah sebuah hotel/restauran makanan buffet.
Walau bagaimana pun makanan malam itu cukup bagi menampung 'keghairahan' para jemputan menjamu selera dan selesa dengan susun atur yang jauh berbeza dari majlis biasa.
HanRahim: Bersedialah untuk sebuah kelainan!










February 11, 2011

Dia Pergi Jua...

Mohon maaf kepada semua kerana lewat memberitahu. Masih bertalu-talu saya menerima panggilan bertanya mengenai Kamaruddin Ibrahim di antara kawan paling akrab semasa di JKR dan sehingga akhir hayatnya. Kamarudin telah meninggal pada Hari Jumaat 4/02/2011 lebih kurang jam 11.45 pagi. Selama mengenalinya Kamaruddin seorang yang rajin dan suka mengembirakan kawan-kawan dengan buah tangan hasil dari 'Air Tangannya'. Kata-katanya lembut dan sopan, jika marah sukar untuk menekanya. Sama-samalah kita sedekahkan Al-Fatihah dan kenanglah dia di setiap doa-doa kalian.

HanRahim: Setiap yang hidup pasti akan mati jua..

February 7, 2011

Cinta Agung!

Tak ada di muka bumi yang lebih menderita dari pemabuk cinta.
Manakala hasratnya telah tercapai, hanya pahit yang dirasakan.
Kaulihat hari-harinya adalah tangis dan air mata.
Khawatir akan perpisahan dan larut dalam cinta.
Kala jauh menangis karena dilanda kerinduan.
Saat dekat pun menangis karena takut perpisahan.
Matanya selalu penuh air mata kala bersamaan
dan mengalir deras saat dipisahkan.”

Namun,

Cinta Agung dan sejati adalah cinta kepada Allah
Usah takut menghadapi apa pun yang akan terjadi
biarpun satu masa akan ditinggalkan
akan di kecewakan
belajarlah untuk menerima apa pun umpatan dan hinaan
berpegang teguh dan yakin lah dengan Ketentuan Allah Yang Esa
yang akan mengubat segala luka di hati
walau sakit, walau pedih laluilah dengan tabah
InsyaAllah... satu masa kepedihan akan hilang
dan kelukaan pasti akan sembuh jua...

"YA ALLAH BERIKANLAH AKU KEKUATAN, KETENANGAN DAN KESABARAN"