Language

May 29, 2010

Salam Takziah

Pada 28/04/2010 yang lalu aku telefon Abang Sepupu bertanya khabarnya. Dia baru keluar wad kerana sakit batu hempedu. Sedang rancak berbual kami sempat ketawa bersama, namun tiba-tiba dia menangis dan mengatakan "seronok hati abang adik-adik sepupu 'call' bertanya khabar, di wad selepas pembedahan abang rasa sunyi sangat" dia terus menangis. Untuk meredakan tangisannya aku berjanji untuk ke rumahnya di Banting selepas asar, mungkin lewat petang sikit kerana rutin harian ku adalah menjemput Hayati balik kerja. Aku minta dia 'sms' alamatnya di Banting.

Hari ini (29/05/2010) aku mendapat berita sepupu yang ku panggil Abang Yazed telah kembali menemui 'Penciptanya'.

Mengimbau kenangan bersama Abang Yazed kami sempat membesar bersama di Kg. Culek, Gopeng, Perak. Sekitar tahun 1965 kakak sulong, abang Ihsan dan aku dipindahkan bersekolah di kampong keluarga sebelah ayah kerana masalah kesihatan emak. Setelah emak sihat, ayah yang bertugas sebagai anggota polis kembali ke Klang membawa bersama emak dan dua lagi adik-adik ku. Tinggallah kami 3 beradik di kampong Culek.

Abang Yazed anak ke 3 dari 4 adik beradik (3 lelaki dan 1 perempuan - Abang Yamin, Kakak Nisah dan Abang Mohsin), selepas ibunya meninggal dunia dia 4 beradik dipelihara oleh Nenek/Opah. Dengan kehadiran kami bertambahlah tanggung jawab nenek/opah. Kehidupan waktu itu bagi mereka sangat susah, tapi jiwa kanak-kanak tidak pernah mengenal semua kesusahan itu.

Sewaktu pertemuan kami sebulan yang lalu dia sempat mengungkit cerita-cerita kenakalan kami, bermain pondok-pondok di atas pokok. Bermain api bomba yang akhirnya dari api 'olok-olok' menjadi sebesar api menjulang membakar sepohon pokok besar. Dalam keadaan kelam kabut, kami sedaya upaya cuba memadamkan api hingga keriuhan kami membangunkan nenek dari tidur.... apa lagi semuanya lintang pukang lari kena marah, waktu itu aku adalah yang paling
kecil, aku selalunya mendapat pembelaan.

Kalau nak diceritakan banyak kenangan yang kami lalui bersama, namun pergaulan kami sangat terkawal biar pun kami sangat akrab di tambah dengan kehidupan di kampong yang sunyi, kemana-mana adakalanya kami berdua saja, begitu juga dengan abang-abang sepupu yang lain...

Hari ini aku tidak pasti semua yang kami lalui sebagai anak-anak boleh di lalui anak-anak zaman ini dengan selamat tanpa berlaku perkara-perkara sumbang.

Al Fatihah untuk Yazed bin Yahya semoga mendapat Pengampunan dari Yang Maha Esa.. Amin!

May 22, 2010

Kali terakhir aku bertemu Aulaiyah pada 1982 di Jabatan Pengangkutan Jalan Ipoh, Perak. Walau mukanya mencuka ketika itu, tidak bermanis muka dengan aku, aku tak kisah sebab segalanya memang salah aku. Aku terlupa menghantar kad jemputan perkahwinan kepadanya, semuanya memang tidak disengajakan. Dalam menghadapi perkahwinan pada November 1980 aku terpaksa menyediakan segala-galanya sendiri kerana emak ditakdirkan menjalani pembedahan di Hospital Kuala Lumpur. Ayah pula kemalangan jalanraya ketika bertugas dan 'warded' selama 3 bulan di Hospital Ipoh.

Semalam aku menjemput Aulaiyah di pejabatnya di Putrajaya. Aku masih boleh mengenali dia walau berpuluh tahun tidak bertemu. Tak sangka Aulaiyah yang dulu kurus melidi agak berisi sekarang, maklum kami sekarang telah jauh meninggalkan zaman remaja saat mula-mula bergelar Penjawat Awam di Biro Siasatan Negara (sekarang SPRM) Ipoh dulu.

Selepas makan tengahari di Sg Merab, kami ke Alamanda mencari tempat dingin untuk lebih selesa berbual. Sambil menikmati 'Baskin Robbins' kami mengungkit kisah lama, yang pasti aku masih tidak lupa Aulaiyah pernah mengenalkan aku dengan Kapten Latif, soalan pertama yang aku ajukan kepada Aulaiyah... "di mana Latif sekarang", pasti Aulaiyah juga tidak tahu di mana dia sekarang, kerana masa telah terlalu jauh meninggalkan kami.

Aulaiyah juga sempat bertanya bagaimana aku boleh berpisah dengan Hussin. Ahhh... jodoh memang rumit untuk dipersoalkan dan aku pun tidak suka komen mengenai ini.

Bertemu Aulaiyah aku rasa impian untuk 'reunion' satu masa akan terlaksana, sebab Aulaiyah ada perasaan yang sama ingin bertemu semua kawan-kawan 'single' sewaktu di Ipoh dulu. Norli, Aulaiyah, Halim, Hamid, Mahmud, Ahmad Anuas, Hussin Mangkat (bekas suami), Yusof (suami Norli)... akan bersambung lagi!

Dalam sibuk menyediakan tempahan makan, bertemu pula kawan-kawan lama, tiba-tiba menjadikan aku lebih bersemangat.

May 18, 2010

Tangan-tangan sasa itu..

Selepas menghantar Hayati di stesyen commuter Batang Benar, saya singgah 'breakfast' di Al Salam Semarak. Sementara menunggu pesanan tiba saya sempat membaca buku terkini yang dibeli 2 - 3 hari lalu 'Keranamu Aku Cemburu". Hari ini saya tidak ingin mengulas mengenai buku ini.

Saat membaca saya terpandang seorang tua bertongkat mungkin seusia Arwah Ayah yang telah pulang pada 21/06/2009 lalu. Pandangan saya tertumpu kepadanya sehingga ia turun tangga dan masuk kedalam kereta dan kelibat keretanya hilang di pandangan. Terasa amat bahagia seorang ayah yang tidak berdaya di pimpin oleh seorang anak lelaki yang mungkin seusia saya (melihat kepada kematangan wajahnya).

Timbul rasa rindu kepada ayah yang satu masa dulu saya selalu memimpinnya, waktu itu saya terasa amat bahagia membawa ayah kemana sahaja walau terpaksa mengatur langkah perlahan.

Dalam kemelut berbagai kisah mengenai orang tua yang tidak di ambil peduli, ditinggalkan di stesyen bas, di tepi jalan dan di hantar ke rumah orang tua, masih ada anak-anak yang berhati mulia menyayangi dan mengambil berat orang tua masing-masing. Betapa saya melihat 'tangan sasa' seorang lelaki memimpin penuh kasih sayang, tatkala menuruni anak-anak tangga dia sempat memeluk ayahnya dengan hati-hati agar ayahnya tidak terjatuh dan tercedera.

Mengimbau kenangan bersama ayah, hati saya terharu sayu. Seorang ketua keluarga yang menanggung 9 anak dengan gaji seorang Anggota Polis pada ketika itu boleh dikira amat sempit. Sewaktu saya bersekolah ayah hanya dapat menghantar RM10.00 untuk belanja dan bayar yuran. Dengan duit sebanyak itu saya tidak boleh berbelanja sebenarnya, saya cuma makan makanan yang disediakan di asrama sahaja.

Itu hanyalah kisah lama yang hingga kini membuat saya rasa bangga menjadi anak yang membesar dalam serba kekurangan, adakalanya dengan kekurangan kita akan lebih beringat dan tahu menghargai. Emak juga memainkan peranan besar di dalam mencukupkan keperluan keluarga. Hari ini sekiranya ayah dan emak masih ada mereka tentu bahagia melihat anak-anak yang telah dewasa, kami 9 beradik walau masing-masing telah bekeluarga masih bertemu dan masih boleh bergurau seperti dulu, yang paling saya bangga ialah kami boleh sepakat dalam membuat keputusan......Alhamdulillah.

Han Rahim.. hati amat tersentuh mengenang ayah ibu.
Tragedi sesaat cinta

Masa silam adalah rimba kesakitan
hingga dikau tidak mampu berdiri
di laman kendiri merenung indah bulan
memancarkan jernih kekesalan
di wajahmu yang rawan.

Yang terjadi adalah tragedi
sesaat cinta yang mengubah rasa

pahit sendirian menelan segala
dia pergi entah ke mana.

Engkau bukan mereka
tega membunuh benih cinta sendiri
untuk malu yang tiada ertinya lagi
nyawa si kecil itu bukan di tanganmu
pasti ada jalan untuk segalanya ini.

Saban hari kita melihat
bayi-bayi itu mati di tangan ibunya sendiri
sedang jika benar ia bermula dengan cinta
pasti ada hikmah untuk setiap peristiwa.

Usah ditambah dosa yang ada
kembalilah berdiri menghargai diri
lelaki durjana tetap ada
walau ke mana dirimu pergi,
kekuatan diri dan agama
adalah perisainya
mereka tidak boleh melukaimu lagi.

Kamal Sujak
Sg Kapar Indah, Klang

May 16, 2010

Innalillahi wainna ilaihirajiun...

Kepada Arwah teman ku Estati, ku ungkapkan rasa kesedihan yang tidak terhingga. Sekelip mata engkau tinggalkan dunia yang fana ini berpindah ke Alam Baqa'. Pemergian yang amat mengejutkan seluruh rakyat malaysia dan sehingga kini aku tidak sanggup membaca akhbar yang memuatkan cerita tragis itu. Semoga kesakitan/kezaliman itu terbalas dengan kesenangan di sisi Allah swt.

Masih jelas di ingatan wajah tenang dihias senyum, lembut dan pemurah. Acap kali pertemuan kita ada saja buah tangan yang engkau titipkan tatkala aku meninggalkan mu. Tasbih biru yang kau beri tatkala menunai umrah pada 2003 masih ada dalam simpanan, pasti ini akan jadi kenangan selagi ada hayat ku.

Semoga mendapat keampunan dengan RahmatNya, sejahteralah engkau di sisi Maha Pencipta.. Aminnn..!!!

May 3, 2010

i
Aku berterima kasih
atas kerelaanmu mengahwiniku
sesungguhnya kerelaan itu satu keberanian
dan ada orang tidak beruntung
kerana terlalu berani.
ii
Aku telah menemui kau
bagai sebuah kolam yang terlalu jernih
kejernihan itu membuat aku malu
kerana ia jelas membayangkan
kekeruhan di tubuhku
aku bersyukur pada pertemuan ini
dan meminta maaf padamu
kerana sesekali seruling yang jauh
mencuriku dari pelukanmu.

Zurinah Hassan