Language

June 30, 2011

Empat Mata Bersama Pak Engku..

Saya bukan memuji tapi inilah kenyataannya, sebenarnya lama dulu saya ingin bertemu empat mata dengan Pak Engku, namun hasrat ini saya pendam kerana saya sangat faham akan kesibukannya

Saya hanya ingin mencuri sedikit saja masa yang terluang dari Pak Engku, namun dia memberikan saya masa yang seluas-luasnya. Sangat jelas seorang yang berdidikasi, sangat gigih bekerja dan yang lebih penting seorang yang pemurah. Pemurah dalam berbagai segi. Lebih dua minggu lalu Pak Engku dengan bermurah hati memperkenan hajat saya untuk bertemunya. Dalam kesibukan yang teramat, jelas wajahnya nampak agak letih dan kurang sihat, dia sangat berbesar hati melayan saya. Bukan itu sahaja dia sempat menurunkan serba sedikit ilmu/pengalamannya sebagai panduan untuk saya melebar sayap sebagai Perancang Perkahwinan. Berhadapan dengan Pak Engku saya seolah-olah duduk di hadapan seorang guru yang benar-benar ikhlas memberi tunjuk ajar kepada seorang murid, pesannya lagi.."kalau siap tunjuk pada saya dulu". Nampaknya ada peluang kedualah nak jumpa dia.  Terima kasih Pak Engku, saya sangat terharu.

Saya tidak mahu mengganggu urusan Pak Engku, mahu segera balik, rezeki datang, saya dihidangkan makan tengahari ala kampung, siap dengan pemanis mulut. Sayang tak dapat upload gambar bersama Pak Engku...

Doa buat Pak Engku dan Family.. Semoga sentiasa di dalam Taufik dan Hidayah Allah, mendapat limpahan rezeki yang melimpah ruah... Ameeen!!!

HanRahim: Orang berbudi kita berbahasa, orang memberi kita merasa!

June 21, 2011

Bunga Rampai Malam Pengantin...

Masih tersimpan rindu untuk mu
sekian kali memejam mata
senyum itu singgah
dan rindu menghambat ku

Pernah satu ketika
engkau hadir bersama mekar kelopak mawar
memuja aku
membawa cinta
seharum...
bunga rampai malam pengantin

Tika engkau lepaskan tangan ku
bunga rampai itu kering bersama hati ku


HanRahim...

June 19, 2011

Selusuri Jalan-jalan Yang Pernah Kita Lalui...

Tiba di Airport Pulau Pinang Secara kebetulan aku tidak keseorangan di dalam 'flight' kerana bertemu seorang Pegawai Mara yang kebetulan menghadiri seminar di Equatorial Penang. Sebaik aku menyimpan novel yang di baca, dia terus duduk dan cuba menegur. Perbualan berterusan hingga kami berpisah kerana aku ingin segera check-in bersiap untuk satu majlis perkahwinan.

Beberapa hari sebelum belepas ke Pulau Pinang, kota yang sempat mencipta sejarah sepasang Pengantin Baru yang mencipta moment manis saat bulan madu. Itulah aku yang sangat teruja untuk segera tiba menyelesai kerja dan mengharap dapat menyelusuri jalan-jalan kenangan bersama arwah bekas suami. Kenangan itu sangat jelas di pandangan mata ku, jari jemari putih gebu seorang gadis melayu di hias inai merah menyala, mata-mata yang memandang senyum simpul kepada kami sambil berbisik... mungkin mengatakan "mereka baru kahwin".

Kami menghabiskan saat bulan madu di penginapan berhampiran Padang Kota Lama, tapi aku dah tak ingat nama hotelnya, kalau masih ada, pasti sebuah hotel yang agak usang kerana ditelan masa 30 tahun lalu. Berpegangan tangan, berderai dengan tawa ria aku dan suami duduk di benteng tepi pantai Padang Kota menikmati deruan ombak dan sesekali percikan air menyimbah kami. Inilah kemuncak cinta kami, kami jalani kehidupan selepas itu dengan amat bahagia, dia seorang suami yang sangat penyayang, menyayangi aku dan anak-anak sepenuh hati...

Usah di kesali perpisahan yang terjadi, selepas 24 tahun aku pasrah kira inilah ujian yang mendatang. Namun kenangan tetap segar di ingatan walau setahun lalu dia telah kembali menemui Sang Pencipta.

Nafsu akan selalu mengajak kepada kebinasaan
kawal lah ia dengan ingat selalu kepada Maha Pencipta
andai rasa lemah menyerang
ber udhu' lah dan bacalah Al-Quran
jangan di lepaskan
peganglah dengan teguh
mohon pertolongan Allah swt.
Dia pasti hadir memberi pertolongan
kepada hamba pilihanNya.
Aamiin!

Tika ini aku baru selesai 'breakfast' yang disediakan pihak hotel. Walau agak lewat balik malam tadi, seperti biasa mata akan terbuka menjelang subuh. Tengahari ini aku akan balik ke Kuala Lumpur. Allah telah memudahkan segalanya, malam tadi aku di temani seorang kawan yang secara sukarela menjadi pemandu pelancung.. terima kasih kepadanya yang sudi meluangkan masa menemani aku menikmati 'pasembur' meehoon sup di Padang Kota Baru, Alhamdulillah, sedap oooooo!

HanRahim: Onak duri biar berombak, adalah pentas menguatkan hati!