Language

April 19, 2010

Malam bersama Pak Engku

Selamat pagi semua, sampai di rumah lebih kurang 2 pagi. Terima kasih kepada Pak Engku yang sudi menjemput kami di majlis yang saya anggap sebagai suai kenal antara fan PK. Majlis cukup teratur dan berjalan lancar. Syabas kepada Pak Engku, walau teramat sibuk dia masih sempat meluangkan masa semata-mata untuk bertemu dan mengenali fan semua. Tidak lupa kepada Mak Engku yang saya kira sebagai nadi kekuatan atas segala kejayaan PK. Salam sayang dari saya untuk Pak Engku dan Family.
Bermula dengan kuiz-kuiz lagu melalui facebook Pak Engku, kebetulan lagu yang mengena adalah di antara lagu yang sering saya nyanyikan dulu-dulu. Lagu Seniman Broery 2 lagu yang saya teka tepat, iaitu Tak Ingin Sendiri dan Biar Bulan Bicara. Dah menang saya cuba teka lagu-lagu lain sekadar meriuhkan laman Pak Engku. "Senjakala" salah satu lagu P. Ramlee jadi favourite Pak Engku, yalah jiwa orang lama.. sesuai dan mengena aja tekaan saya.
Riuh rendah laman fb PK, perlumbaan mendapat hadiah dan makan malam bersama PK. Sebenarnya saya tidak bersaing untuk mendapat hadiah, cuma saya memang ingin sekali bertemu PK yang secara tidak langsung dalam bidang perniagaan yang sama dengan saya. PK memang satu nama besar di dalam Perancang Perkahwinan, walau saya tidak tahu bagaimana PK memulakan perniagaan tapi saya dapat meneka, segalanya bermula dengan minat dan usaha yang gigih.
Raut wajah tenang, bergaya dan sentiasa senyum. Kata-katanya lemah lembut dan sopan.. tak hairan bila dia minta saya 'jangan balik dulu', dengan rela saya penuhi permintaannya. Sempatlah saya menyanyi sebuah lagu bersama PK, tak silap 'Taman Firdausi' lagu Allahyarham P.Ramlee.. cukuplah sekadar suka-suka.
Sebelum semua balik PK pelawa semua yang hadir untuk sama-sama menyanyikan lagu favourite nya 'Tak Ingin Sendiri'. Lagu ni memang selalu aku nyanyikan dulu yang di popularkan oleh Heaty Koesdang.

"malam ini tak ingin aku sendiri
ku cari damai bersama bayangan mu
hangat pelukan yang masih ku rasa
kau kasih kau sayang"

Sebelum mengakhiri sempat aku katakan, lama sangat aku tidak bersosial, pelawaan dan jemputan dari PK cukup memberi ruang di dalam menambah kenalan lebih-lebih lagi mengenali Pak Engku yang 'rendah hati' walau namanya 'gah' di persada sebagai Perancang Perkahwinan.

Sekali lagi terima kasih Pak Engku.

April 15, 2010

Buat Nuqman..

Bertahun tidak mengarang samada puisi atau cerpen. Rupanya bakat yang ada masih boleh digilap. Terpanggil untuk menulis puisi khas untuk seorang kawan di FB.

Dunia cyber jika digunakan dengan baik banyak perkara yang boleh dimanafaatkan. Mengenali En. Mustafa Othman melalui laman Pak Engku Kuzie Catering, kami berlumba menjawab berbagai kuiz lagu favourite Pak Engku, secara tak langsung Mustafa yang saya panggil Mus sahaja sama-sama meriuhkan suasana, rupanya di sebalik usikan dan sakat Mus adalah sekadar mendapatkan sedikit kerehatan dengan tanggung jawab besar yang dipikul.

Tidak ramai bapa yang sanggup memikul tanggung jawab memelihara dan menumpukan perhatian sepenuh masa untuk seorang anak OKU. Pengorbanan Mus yang sanggup berhenti kerja semata-mata untuk memastikan Nuqman (anak autisme berusia 14) diurus dengan sempurna. Kami juga diberitahu bahawa Nuqman sesekali akan mencederakan diri sendiri dengan menghantukkan kepala ke dinding. Kata Mus, perutnya seperti plastik, jika leka Nuqman akan makan apa-apa sahaja yang ditemui, baru-baru ini dia memakan racun tikus.
Allah Maha Kuasa Nuqman sihat seperti sediakala.

Di bawah sebuah puisi untuk Nuqman dan keluarga yang terus sabar menatangnya.

Nuqman...
walau lahir mu tidak di pinta begini
tetap kami sediakan telaga kasih buat mu
tidak rela secalit luka
menggaris perjalanan mu di dunia ini...

Nuqman...
maha adil Tuhan Maha Pencipta
hadir mu di tatang ayah bonda
cukup istimewa...
walau tidak mendapat segala-galanya

Nuqman....
walau tidak dilahirkan sempurna
percayalah..
Lautan Firdausi menanti mu

Han's
16 April 2010 @ 2.22pm

April 2, 2010

Assalamualaikum,

Terlebih dulu ucapan takziah untuk keluarga Din Beramboi, tak sangka sedang bintang berkilau memancar populariti dia pergi untuk selamanya.

Sepanjang minggu hinggalah hari ini dilalui dengan hari-hari yang sangat sibuk. Urusan harta pusaka telah selesai, hanya menunggu cek dari PNB. Anak ke3 dari sembilan adik beradik, aku telah dilantik sebagai pemegang amanah untuk menguruskan semua harta-harta yang ayah tinggalkan. 2 bidang tanah pertanian telah di penamakan kepada kakak dan abang sulong sebagai pentadbir. Aku harap dengan kepercayaan semua adik beradik 2 bidang tanah ini ditadbir dengan baik. Semua hasil walau sedikit dapat dirasa semua adik beradik.

Wang simpanan ayah yang agak banyak juga telah dibahagi mengikut 'faraid'. Alhamdulillah.. kami 9 beradik tidak banyak menimbulkan masalah di dalam proses pembahagian ini. Kebanyakan usul diterima baik dan sangat mudah hinggalah perbicaraan di Pejabat Pesaka Kecil Kampar, Perak.

Pada awalnya aku agak risau dengan beberapa kes keluarga lain yang bergaduh besar dalam menyelesaikan hal harta pusaka. Namun, aku yakin Hanya Allah swt. yang mempermudahkan segala urusan samada di dunia atau di akhirat kelak...Amin!

Dari beberapa bulan lalu segalanya diusahakan dengan 'by hand'. Jika menunggu sampai ke riba, alamat bertahunlah prosesnya baru selesai. Kesempatan ini saya sisipkan ucapan terima kasih kepada semua yang terlibat terutama Pejabat Pesaka Kecil Daerah Kampar, Perak. Sentiasa dapat melayan dengan sopan dan senyum walau dalam kesibukan

Ketika menulis blog ini aku sedang menunggu abang sulong untuk tandatangan beberapa dokumen bank. Terkenang aku betapa modennya kehidupan hari ini, seorang 'Opah' duduk di kedai mamak bersendirian dihidangkan milo, air suam dan sebiji laptop....haaaa..aaaa. Jam baru menunjukkan jam 7.50 pagi, setengah jam lagi untuk menunggu abang di sini.

Kebetulan anak saudara yang menyewa apartment di Puchong telah mengosongkan rumah seminggu lalu kerana berpindah ke rumahnya yang baru dibeli. Sebaik dimaklumkan melalui mudah.com, bertalu-talu panggilan telefon untuk menyewa apartment tersebut. 2 - 3 tahun lalu letak banner besar pun.. adalah 1-2 orang yang call, lepas tu terus senyap, lama juga apartment tersebut tiada penyewa. Taman Putra Perdana telah banyak berubah, jalan-jalan telah mula dibesarkan, pokok-pokok yang dulu rendah sekarang telah menutup pandangan ku ke arah tasik melalui tingkap apartment.

Banyak lagi yang nak diceritakan bersama pengunjung blok ini, memandangkan batery laptop dah beri warning.. aku berhenti di sini dulu, sehingga bertemu di lain kali. salam untuk semua.