Language

December 26, 2009

Berlabuh 2009


Assalamualaikum,
Lama blog sejuk tidak disentuh. Januari hingga sekarang menjelang tirai 2009 dilabuhkan, hati seakan diketuk-ketuk agar melewati akhir 2009, memberi sedikit juadah menjelang 2010.
Sepanjang 2009 berbagai hal yang aku lalui, dalam suka ada juga duka.
  • Hidayah anak ke 2 telah melansungkan perkahwinan pada 29 Mei 2009.
  • Ayahanda ku telah pulang ke Rahmatullah pada 21 Jun 2009, semoga dia mendapat keampunan dan sejahtera di sisi Allah swt
  • Lahir Ukasya pada 31 Ogos 2009.. cucu pertama adik ku Asiah
  • Lahirlah Nurul Jannah pada 14 September ..cucu ku yang pertama.
  • Ukasya dijemput kembali di sisi Allah swt. pada 7 Disember 2009 http://buatmuanakku.blogspot.com
Kerap kita menyalahkan kepada kesibukan kerana beberapa aktiviti yang tergendala. Hakikat sebenar adakalanya ilham tumpul atau pun kurang melayani kehendak hati. Lagi pun setelah dapat title 'opah' fikiran lebih tertumpu kepada Nurul Jannah. Gambar di sebelah tu Nurul Jannah dalam usia belum sebulan. Lahirnya besar 4.3kg.
Esok 31 Disember 2009 sehari saja lagi kita bakal menyambut tahun baru 2010. Seperti biasa terdengar berbagai-bagai azam yang disebut. Apa lagi azam aku selain memikirkan hari-hari akhir dengan amalan yang tak seberapa untuk mengadap Rabbul Jalil.
Biar apa pun azam semoga kita berjalan di landasan yang betul serta mendapat keredhaan Allah swt....Amin






February 18, 2009

Lebih baik berterus terang

Saya dipelawa untuk memberi sebutharga, sebuah majlis dengan jemputan 3,000 orang, sudah semestinya saya memikirkan sebuah majlis yang besar dengan tetamu-tetamu jemputan terdiri dari VIP dan VVIP.

Di perbincangan ini saya mengajukan soalan, "apa yang mereka kehendaki", saya menyenaraikan semua keperluan yang diminta. Perkahwinan serentak 3 pasang mempelai, pasti sebuah majlis yang besar dengan persiapan yang tidak kurang memerlukan budget yang besar. Walau bagaimanapun sebagai perancang perkahwinan adalah menjadi kewajipan saya bertanya berapa budget pelanggan. Pihak pelanggan tidak menyatakan budget sebenar, mereka hanya mahu saya kemukakan sebutharga dengan item yang diminta.
Sebutharga dikemukan 2 hari kemudian, pelanggan amat terkejut dengan harga RM18K untuk pelamin 3 pasang mempelai dan lain-lain hiasan dewan dengan bunga segar.
Rezeki Allah s.w.t. jua yang menentukan, pihak pelanggan tidak memberi jawapan samada setuju atau pun tidak. Akhirnya sampai juga ke pengetahuan saya bahawa dengan senarai persiapan melalui sebutharga yang saya sediakan mereka telah minta syarikat lain membekalkan peralatan bernilai RM5k dan semua kerja dilaksanakan sendiri secara gotong royong.

Catatan:
Setiap pelanggan bebas membuat pilihan namun berterus terang boleh menyelesaikan banyak masalah dan mencapai kata sepakat di dalam menghasilkan majlis yang lebih indah dan sempurna.

January 9, 2009

Hayati di Ijabkabul

Hayati selamat diijabkabulkan. Majlis akad nikah diadakan di surau Al Hidayah Desa Pinggiran Bayu di kawasan perumahan kami. Amat terharu dengan sambutan jiran-jiran di majlis akad nikah tersebut, sejak awal lagi telah ramai menunggu di kaki lima surau untuk menyambut pengantin. Saya juga mendapat khabar AJK surau mengadakan gotong royong untuk membersihkan surau.

Majlis akad nikah yang diadakan selepas asar berjalan lancar, selepas nikah tetamu dijemput ke rumah menjamah sedikit juadah. Setiba dirumah, beberapa tetamu antaranya kawan-kawan yang telah lama tidak bersua telah menunggu.

Majlis ini mengumpulkan saudara mara dekat dan jauh, juga kawan-kawan yang berpuluh tahun tak bertemu. Kepada kawan-kawan semasa bekerja di Badan Pencegah Rasuah Ipoh, pertemuan ini sangat mahal untuk ditafsirkan. Terima kasih kepada Yussof dan Mahmud sekeluarga juga Halim yang sempat call dan mewakilkan anaknya ke majlis perkahwinan ini, Nur, kawan di dalam susah dan senang semasa di London juga sempat hadir bersama suaminya. Terima kasih juga kepada semua yang telah hadir menyerikan majlis tersebut. Kepada handai taulan yang tidak dapat hadir, mungkin satu hari kita dapat bertemu di majlis yang lain pula... InsyaAllah.

Ketika menyudahi tulisan ini, Hayati telah mula mengandung 2 bulan. Bakal Opah laaa.. hujung tahun ni.