Language

May 22, 2010

Kali terakhir aku bertemu Aulaiyah pada 1982 di Jabatan Pengangkutan Jalan Ipoh, Perak. Walau mukanya mencuka ketika itu, tidak bermanis muka dengan aku, aku tak kisah sebab segalanya memang salah aku. Aku terlupa menghantar kad jemputan perkahwinan kepadanya, semuanya memang tidak disengajakan. Dalam menghadapi perkahwinan pada November 1980 aku terpaksa menyediakan segala-galanya sendiri kerana emak ditakdirkan menjalani pembedahan di Hospital Kuala Lumpur. Ayah pula kemalangan jalanraya ketika bertugas dan 'warded' selama 3 bulan di Hospital Ipoh.

Semalam aku menjemput Aulaiyah di pejabatnya di Putrajaya. Aku masih boleh mengenali dia walau berpuluh tahun tidak bertemu. Tak sangka Aulaiyah yang dulu kurus melidi agak berisi sekarang, maklum kami sekarang telah jauh meninggalkan zaman remaja saat mula-mula bergelar Penjawat Awam di Biro Siasatan Negara (sekarang SPRM) Ipoh dulu.

Selepas makan tengahari di Sg Merab, kami ke Alamanda mencari tempat dingin untuk lebih selesa berbual. Sambil menikmati 'Baskin Robbins' kami mengungkit kisah lama, yang pasti aku masih tidak lupa Aulaiyah pernah mengenalkan aku dengan Kapten Latif, soalan pertama yang aku ajukan kepada Aulaiyah... "di mana Latif sekarang", pasti Aulaiyah juga tidak tahu di mana dia sekarang, kerana masa telah terlalu jauh meninggalkan kami.

Aulaiyah juga sempat bertanya bagaimana aku boleh berpisah dengan Hussin. Ahhh... jodoh memang rumit untuk dipersoalkan dan aku pun tidak suka komen mengenai ini.

Bertemu Aulaiyah aku rasa impian untuk 'reunion' satu masa akan terlaksana, sebab Aulaiyah ada perasaan yang sama ingin bertemu semua kawan-kawan 'single' sewaktu di Ipoh dulu. Norli, Aulaiyah, Halim, Hamid, Mahmud, Ahmad Anuas, Hussin Mangkat (bekas suami), Yusof (suami Norli)... akan bersambung lagi!

Dalam sibuk menyediakan tempahan makan, bertemu pula kawan-kawan lama, tiba-tiba menjadikan aku lebih bersemangat.