Language

September 15, 2008

Idilfitri

Assalamualaikum, ramadhan bakal beransur pergi, menjelma pula syawal. Saya pasti ketika ini rakyat malaysia beragama islam sedang sibuk membuat persiapan. Bagi bakal-bakal pengantin yang akan menamatkan zaman bujang di bulan syawal hingga Disember ini, juga di antara orang yang paling sibuk membuat persiapan.
Begitulah saya di samping terus mengendalikan beberapa majlis untuk pelanggan, juga menghadapi kesibukan bagi perkahwinan anak sendiri. Menjelang syawal kali ini ada kemungkinan saya menyambut ala kadar, maklum persiapan lebih tertumpu untuk wedding seorang pelanggan dan anak sulong saya Hayati pada November ini.
Walau pun ini adalah kerja-kerja yang biasa saya lakukan dan berpengalaman lebih 10 tahun, saya mengaku...setiap kali menghadapi majlis besar ini, saya tetap gementar selagi majlis tidak selesai. Terfikirlah oleh saya bagaimana perasaan ibu-ibu menjelang perkahwinan anak mereka.

Saya mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua pelanggan-pelanggan dan pelayar blog yang sempat singgah di sini.

August 8, 2008

Sebentuk cincin belah rotan 2


Sebagai dijanjikan saya sambung lagi 'sebentuk cincin belah rotan'. Beberapa tempahan majlis perkahwinan pada julai dan awal ogos lalu menjadikan saya sangat sibuk dan hampir lupa untuk menyambung 'post' ini. Tambahan menjelang perkahwinan Hayati pada 29 November 08, bertambah lah kesibukan saya. Namun kesibukan inilah yang sangat membahagiakan seorang ibu yang bakal menerima menantu, tambahan menantu sulong... Alhamdulillah.
Saya masih di pejabat sementara menunggu Hayati, teringat blog yang telah lama tidak di jengah.
2 Ogos lalu saya mengendalikan perkahwinan kawan semasa sama-sama di JKR dulu . Seperti permintaannya sebuah perkahwinan yang ringkas untuk 800 jemputan. Walau pun ringkas, namun persediaannya tetap sama, maklum setiap perkhidmatan adalah lambang sebuah kepuasaan dan kejayaan. Perkhidmatan yang baik tidak mengira samada budget kecil atau besar.
Alangkah manisnya sebuah perkahwinan yang tidak tercemar oleh kerakusan budaya import. Tidak kiralah jika pengantin perempuan telah 'berbadan dua', tetap manis dengan pakaian pengantin khas, demi menghalalkan sebuah ikatan mereka telah bernikah lebih 6 bulan lalu.
Tahniah kepada kedua mempelai yang bakal menimang cahaya mata menjelang tirai 2008 dilabuhkan.

July 8, 2008

Lautan api pun sanggup ku renang

Pagi ini saya dikejutkan oleh seorang pelanggan yang telah menempah saya sebagai Perancang Perkahwinan untuk majlis perkahwinan anaknya pada November 2008.

Atas alasan tak cukup duit, pihak lelaki minta ditangguhkan majlis yang telah diatur atas persetujuan bersama oleh kedua-dua belah pihak. Peninglah kepala keluarga sebelah pihak perempuan, lalu dia minta pandangan saya memandangkan anak perempuannya seakan dah tawar hati untuk meneruskan perkahwinan. Sebagai ibu saya kira tentulah dia merasa sedih dan simpati dengan situasi yang dihadapi oleh anak perempuannya.

Saya kata sekiranya kedua bakal pengantin benar-benar ada rasa sayang menyayangi dan ingin hidup bersama, maka walau apapun masalah yang timbul, mestilah keduanya sanggup menghadapi. "Ringan sama dijinjing dan yang berat sama dipikul", bukit sama didaki, lurah sama dituruni"... anak-anak sekarang hidup dalam zaman senang, sedikit masalah sukar ditangani. Berbeza di zaman kita dulu, hendak masak semangkut gulai pun, kelapa mesti dikait, dikupas dibuang sabut, dibelah kelapa dan dikukur sendiri.... Betapa susahnya untuk mendapatkan semangkuk gulai, itupun gulai biasa, sekiranya nak gulai ayam? kenalah kejar ayam dulu... heee...eee..

Teringat masa lalu, manisnya kehidupan dan menjadikan kita hari ini cukup dewasa dengan pengalaman dan tabah menghadapi setiap rintangan.

Berbalik kepada cerita asal;

Seorang lelaki yang bakal menjadi suami mesti berani berusaha, kalau pun pihak bakal isteri minta lebih dari kesanggupan, cubalah berfikir dan mohon masa untuk membuat keputusan. Lelaki adalah pemimpin, sebaik mungkin mesti mempunyai sikap tenang dan bijaksana dalam membuat keputusan.

Besar maknanya "lautan api pun sanggup ku renang"

Orang dulu-dulu kaya dengan budi bahasa, berhati waja, bersemangat pahlawan, sanggup meredah kepayahan walau hanya untuk mendapatkan seorang gadis idaman. "Lautan api" dijadikan perumpaan betapa ia sanggup berusaha dan bertangungjawab memiliki/melindungi isteri walau maut menanti dan nyawa jadi galang ganti.

Kehidupan bukan sekadar untuk berseronok, disebalik keseronokan pasti ada keperitan. "Terimalah kepahitan seperti engkau merasa 'kemanisan'... catatan indah daripada salah sebuah buku Yusuf Al Qardawi

Alam pertunangan umpama alam percubaan bagi kedua bakal pengantin, masih banyak yang perlu dipelajari oleh kedua bakal pengantin. Dari mengenal hati budi dan yang paling sakit ialah menangani 'ragam' masing-masing. Hanya melalui kehidupan bersama berbekalkan 'doa' dan 'kesabaran' layarkanlah bahtera dengan tenang hingga mencapai kebahagian. Ambillah nasihat orang-orang tua sebagai panduan bukan sebagai menyemarak api persengketaan.

Kepada pelanggan saya ini, saya doakan semoga segala masalah yang timbul dapat diselesaikan. Saya sempat mengatakan di sini, sekiranya kedua bakal pengantin tidak sehaluan lagi dan mohon diputuskan juga pertunangan, mohonlah petunjuk/pertolongan Allah, kerana hati-hati yang retak hanya Allah yang dapat mencantumnya kembali.

Hanom: Kita hanya hamba kerdil di sisi Allah swt. yang Maha Esa.


July 7, 2008

Sebentuk Cincin Belah Rotan

"Ini cincin belah rotan, dijari mu ku letakkan" ,
28 tahun lalu lagu ini jadi usikan daripada adik-adik sempena pertunangan saya. Lagu lama dan saya sendiri tidak ingat siapa penyayinya, sangat berkesan untuk seorang bakal pengantin.

Hayati anak sulong telah disunting pada 5 Julai 2008 yang lalu. Berseri wajahnya diukir senyuman dengan 2 bentuk cincin tersarung manis dijarinya. Dalam kesibukan aku terlupa minta diambil gambar barang-barang iringan cincin pertunangan iaitu:

1. Tepak sireh
2. 2 bentuk cincin dihias bunga rampai
3. Tudung dan kain untuk sepasang baju
4. Sejambak gubahan anggur daripada gula-gula
5. Buah-buahan

Pengalaman mengendalikan majlis untuk pelanggan berbeza dengan majlis untuk anak sendiri. Saya telah mengambil cuti seminggu lebih awal untuk mengemas dan menghias rumah. 3 hari sebelum majlis saya telah menyiapkan barang-barang untuk masakan. Menu pada hari itu sangat ringkas, maklum kerana saya masak sendiri. Walau ringkas, saya kira tetamu cukup berselera dengan juadah disediakan. Ada juga yang minta dibekalkan dengan kari ayam sewaktu hendak melangkah pulang. Kepada pelayar blog yang inginkan resepi Kari Ayam yang sentiasa menjadi buah mulut jiran tetangga dan sesiapa saja yang pernah merasa, bolehlah email untuk mendapatkan resepi.

Nasi Putih
1. Ayam masak kari + lobak merah
2. Ikan masin, kentang, bawang merah, cili hijau di goreng dan di gaul mesra
3. Labu + pucuk + suhon masak lemak putih
4. Telor dadar

Kuih
1. Tako
2. Karipap
3. Agar-agar
4. Brownies
5. Kek kopi

Minuman
1. Orange
2. Sirap
3. Kopi & Tea 'O'

Hayati dan tunangnya ditemukan April 08 yang lalu. Hasil dari muafakat antara kedua belah pihak, kami telah membuat keputusan untuk segera menyatukan mereka. Alhamdulillah, kalau dikatakan hubungan hayati dan tunangnya 'old fashion', saya redha, kerana inilah yang saya mahukan. Tiada pertemuan bebas, mereka berdua hanya bebas bercakap melalui telefon sahaja. Dalam zaman yang serba maju, saya melihat nilai-nilai timur sudah semakin ditinggalkan. Anak-anak muda tiada lagi segan silu, bukan sekadar berpegang tangan malah lebih dari itu. Jika nilai-nilai timur telah jauh ketinggalan di harap peribadi islam adalah penyelamat kepada situasi ini.

Bersambung lagi....

June 19, 2008

Bukan Harga Jadi Ukuran

Minat yang mendalam sebagai perancang perkahwinan kerana keinginan saya memberi perkhidmatan yang murah tapi nampak mahal , di samping dapat melahirkan idea daripada pengalaman-pengalaman semasa melancong.

Hari ini saya singgah di Mid Valley kerana satu temujanji dengan pelanggan, ruang cafĂ© di hadapan ISETAN, Garden Shopping Mall menjadi pilihan saya. Dalam mencari keselesaan adakalanya kita terpaksa membayar harga yang mahal. RM 25.00 untuk secawan ‘hot choclate’ dan sepotong kek.

Kebetulan keinginan membuang air kecil tiba-tiba bagai menunda tanpa sabar, saya ke toilet berdekatan, demi keselesaan saya membayar RM 5.00. Tanpa ragu, pasti dengan kebersihannya, saya dengan selesa duduk di mangkuk tandas. Tak sampai 10 minit saya siap membasuh dan mengeringkan tangan dengan tuala putih yang disediakan, Mengambil sedikit ‘lotion’ dan meratakan di tangan hingga ke siku, saya nyaman dengan harumannya.

Apabila difikirkan saya bukan membayar harga mahal kerana sebuah keselesaan, namun jauh disudut hati, saya sedia menimba pengalaman walau terpaksa membayar mahal, sekiranya satu masa saya benar-benar mampu memberi keselesaan kepada orang ramai dan menekankan bahawa ‘bekerjasama lah’ untuk sebuah keselesaan, pasti semua rakyat Malaysia dapat merasa suasana selesa yang eklusif jika ada inisiatif untuk menjaga ‘harta awam’ seperti harta sendiri. Umpamanya: setiap pengguna dengan sendiri ada inisiatif untuk memastikan tandas ditinggalkan sama seperti mula melangkah masuk. Tuala-tuala putih, lotion yang berjenama mahal yang disediakan tidak dicuri Terkenanglah oleh saya dalam apa jua hal pun, bukan harga menjadi ukuran, namun sikap dan kerjasama masyarakat adalah yang utama.

Hanom: Banyak berjalan luas pandangan

June 8, 2008

Salam....

Meredah kepayahan dalam menjejak kejayaan. Jika pun tidak setanding nama-nama besar perancang perkahwinan di luar sana.. Penglibatan secara langsung lebih 10 tahun dalam bidang ini, saya yakin dapat memenuhi kehendak dan citarasa pelanggan. Sebagai perancang perkahwinan saya mahu setiap hasil kerja terurus rapi dan menghasilkan kesempurna maksimam.

Salam dan terima kasih kepada yang sempat melayari blog ini. Pandangan dan sokongan dari anda semua akan tersimpul menjadi ilham.

Hanom: Di mana ada usaha di situ ada kejayaan.. InsyaAllah!!

June 2, 2008

Bidan Terjun....

Sedang beristirrehat saya terima panggilan dari seorang kawan. Panggilan hari ini untuk jadi 'bidan terjun'...

Majlis perkahwinan di Desa Melati minta menyediakan 'lauk pangantin' pada hari Ahad 1 Jun 2008. Mulanya saya keberatan kerana ingin berehat saja di rumah di hujung minggu dan kebetulan untuk memenuhi undangan bapa saudara di Bukit Stiawangsa.

Kerana sukar menghampakan hajat dan ingin menolong kawan, saya akhirnya bersetuju menyediakan 5 jenis masakan dan 2 set setiap satu.

Menu pilihan saya:
1. Roast Chicken + brown sos
2. Ikan siakap goreng + thai sos
3. Udang gula hangus + nenas dan timun
4. Jelly + kuah kastad
5. Hiasan buah-buahan

Alhamdulillah, jam 10.30 pagi semua masakan siap. Saya dibantu oleh anak sulong yang sangat kreatif. Kami tiba di rumah pengantin jam 11.00 pagi. Tiba di sana saya disambut oleh penduduk setempat iaitu selaku 'penanggah'. Saya memperkenalkan diri dan mohon ruang untuk meletak dan menyiapkan hiasan untuk hidangan. Salah seorang penanggah yang dikenali sebagai Kak Ani bertanya saya jika ada apa-apa yang perlu ditolong. Saya mengatakan ini kerja senang, semua dah masak saya cuma nak hidang dan hias saja. Dia tanya lagi "mana pinggan, gelas dan lain-lain peralatan meja pengantin". Saya mengatakan tidak tahu, saya cuma diberitahu menyediakan 'lauk pengantin' saja. Keadaan jadi kecoh sedikit, saya minta mereka bertenang dan saya minta untuk bertemu tuan rumah.

Tuan rumah dengan ringkas menyatakan "dia tidak tahu apa-apa, dia tahu semuanya disediakan", dia telah serahkan semuanya kepada seseorang. Untuk mengelakkan keadaan jadi tidak terurus, saya minta anak saya beli saja pinggan, gelas dan sudu garpu di kedai-kedai berhampiran.

Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada 'penanggah-penanggah' yang dengan murah hati memberi kerjasama. Saya sangat terharu dengan keikhlasan mereka, walaupun seperti yang dibisikkan kepada saya bahawa semenjak berjiran tuan rumah tidak pernah bergaul dengan mereka. Namun mereka sudi bergotong royong menyediakan hidangan untuk lebih kurang 500 orang. Cerita ini tidak habis di sini sebenarnya, banyak lagi pengajaran dan ikhtibar dari cerita-cerita 'penanggah' mengenai tuan rumah. Namun saya anggap ia adalah sebuah pengalaman untuk dikutip buat pedoman dan panduan.



Hanom : yang buruk jadikan sempadan, yang baik jadikan panduan...