Language

September 28, 2010

Kapal Itu Penuh Muatan - "Ilusi itu indah realiti itu yang memerlukan banyak pengorbanan"

Kisah seorang kawan. 7 tahun saya pegang janji untuk merahsiakan perceraiannya. Genap 10 tahun berpisah dia jodohnya tiba dia berkahwin untuk kali kedua dan menjadi isteri kedua.

Sebelum membuat keputusan berkahwin, dia minta pandangan mengenai poligami.

Pandangan ikhlas kepada seorang kawan, saya katakan kepadanya:

"Anggaplah kamu sekarang umpama terdampar di sebuah pulau mengharapkan kapal yang lalu. Tetiba sebuah kapal yang penuh muatan berhenti dengan rela hati menumpangkan kamu"

Memilih untuk menjadi yang ke 2 tidak salah, tapi kamu kena sedar, ilusi itu indah tapi realiti itulah yang memerlukan banyak pengorbanan. Bayangkanlah kehidupan di dalam sebuah kapal yang penuh muatan, ruang yang ada amat terhad.

"Berkorban apa saja harta ataupun nyawa
itulah kasih mesra sejati dan mulia"
(teringat lagu P.Ramle dari filem Hang Tuah - sedih lagu ni)

Kalau kamu telah benar-benar bersedia, kahwinlah dengan ikhlas. Sabar dan befikir sebelum membuat sebarang tindakan. Sebagai isteri kedua jangan terlalu 'demand'. Inilah kata-kata saya 7 tahun lalu sebelum dia berkahwin lagi.

Selepas hari-hari itu dia tetap datang untuk meluahkan perasaan tidak puas hati, sebagai kawan saya berilah pandangan sekadar yang mampu untuk dia rasa selesa.

Menjelang Aidilfitri lalu dia bersedih dan menyuarakan rasa tak puas hati, katanya selama 7 tahun perkahwinan, suaminya tidak pernah menyambut Aidilfitri pertama dengannya, tidak pernah membawa dia bertemu saudara mara dan adik beradiknya. Telah lama saya jangka perkara ini akan berlaku, tapi selagi kawan saya boleh bersabar, saya diamkan saja.

Kali ini saya berterus terang dengannya. Pengalaman cukup menjadikan saya begitu yakin dengan jawapan ini, satu masa dulu saya adalah isteri pertama, ada majlis yang saya dan madu hadir bersama, kebanyakan perempuan di sekeliling saya seakan memulaukan 'madu' saya, walau pun saya sedih kerana dia adalah 'madu', tapi di dalam hati saya sangat kasihan dengannya. Terus terang saya katakan, masyarakat di Malaysia masih belum boleh menerima kehadiran isteri ke 2 (poligami).

Saya nasihatkan kawan saya agar terus bersabar, berkahwin hanya untuk suami usah fikirkan hal remeh temeh yang lain. Mengembirakan hati suami dan taat dengannya begitu besar ganjarannya. Kebanyakan suami tidak selesa memperkenalkan isteri ke2 kepada saudara mara atau adik beradik... terimalah kenyataan ini, jagalah air muka suami, kebanyakan suami-suami di Malaysia belum begitu berani demi menjaga hati isteri pertama.

Kawan, cukuplah mendapat suami yang bertanggung jawab yang tidak mengabaikan keperluan lahir dan batin, jika ada sedikit kekurangan, anggaplah ia sebagai ujian di dalam menduga kesabaran.

HanRahim: Saat ini aku masih rela bersendirian demi sekeping hati yang pernah terguris.