Language

July 8, 2008

Lautan api pun sanggup ku renang

Pagi ini saya dikejutkan oleh seorang pelanggan yang telah menempah saya sebagai Perancang Perkahwinan untuk majlis perkahwinan anaknya pada November 2008.

Atas alasan tak cukup duit, pihak lelaki minta ditangguhkan majlis yang telah diatur atas persetujuan bersama oleh kedua-dua belah pihak. Peninglah kepala keluarga sebelah pihak perempuan, lalu dia minta pandangan saya memandangkan anak perempuannya seakan dah tawar hati untuk meneruskan perkahwinan. Sebagai ibu saya kira tentulah dia merasa sedih dan simpati dengan situasi yang dihadapi oleh anak perempuannya.

Saya kata sekiranya kedua bakal pengantin benar-benar ada rasa sayang menyayangi dan ingin hidup bersama, maka walau apapun masalah yang timbul, mestilah keduanya sanggup menghadapi. "Ringan sama dijinjing dan yang berat sama dipikul", bukit sama didaki, lurah sama dituruni"... anak-anak sekarang hidup dalam zaman senang, sedikit masalah sukar ditangani. Berbeza di zaman kita dulu, hendak masak semangkut gulai pun, kelapa mesti dikait, dikupas dibuang sabut, dibelah kelapa dan dikukur sendiri.... Betapa susahnya untuk mendapatkan semangkuk gulai, itupun gulai biasa, sekiranya nak gulai ayam? kenalah kejar ayam dulu... heee...eee..

Teringat masa lalu, manisnya kehidupan dan menjadikan kita hari ini cukup dewasa dengan pengalaman dan tabah menghadapi setiap rintangan.

Berbalik kepada cerita asal;

Seorang lelaki yang bakal menjadi suami mesti berani berusaha, kalau pun pihak bakal isteri minta lebih dari kesanggupan, cubalah berfikir dan mohon masa untuk membuat keputusan. Lelaki adalah pemimpin, sebaik mungkin mesti mempunyai sikap tenang dan bijaksana dalam membuat keputusan.

Besar maknanya "lautan api pun sanggup ku renang"

Orang dulu-dulu kaya dengan budi bahasa, berhati waja, bersemangat pahlawan, sanggup meredah kepayahan walau hanya untuk mendapatkan seorang gadis idaman. "Lautan api" dijadikan perumpaan betapa ia sanggup berusaha dan bertangungjawab memiliki/melindungi isteri walau maut menanti dan nyawa jadi galang ganti.

Kehidupan bukan sekadar untuk berseronok, disebalik keseronokan pasti ada keperitan. "Terimalah kepahitan seperti engkau merasa 'kemanisan'... catatan indah daripada salah sebuah buku Yusuf Al Qardawi

Alam pertunangan umpama alam percubaan bagi kedua bakal pengantin, masih banyak yang perlu dipelajari oleh kedua bakal pengantin. Dari mengenal hati budi dan yang paling sakit ialah menangani 'ragam' masing-masing. Hanya melalui kehidupan bersama berbekalkan 'doa' dan 'kesabaran' layarkanlah bahtera dengan tenang hingga mencapai kebahagian. Ambillah nasihat orang-orang tua sebagai panduan bukan sebagai menyemarak api persengketaan.

Kepada pelanggan saya ini, saya doakan semoga segala masalah yang timbul dapat diselesaikan. Saya sempat mengatakan di sini, sekiranya kedua bakal pengantin tidak sehaluan lagi dan mohon diputuskan juga pertunangan, mohonlah petunjuk/pertolongan Allah, kerana hati-hati yang retak hanya Allah yang dapat mencantumnya kembali.

Hanom: Kita hanya hamba kerdil di sisi Allah swt. yang Maha Esa.


1 comment:

krizal said...

boleh tahu ini kak anum yang mana? yang dulu tinggal di Mantin ker? pernah join Smart Naco dengan saya kan? - Rizal