Language

May 29, 2010

Salam Takziah

Pada 28/04/2010 yang lalu aku telefon Abang Sepupu bertanya khabarnya. Dia baru keluar wad kerana sakit batu hempedu. Sedang rancak berbual kami sempat ketawa bersama, namun tiba-tiba dia menangis dan mengatakan "seronok hati abang adik-adik sepupu 'call' bertanya khabar, di wad selepas pembedahan abang rasa sunyi sangat" dia terus menangis. Untuk meredakan tangisannya aku berjanji untuk ke rumahnya di Banting selepas asar, mungkin lewat petang sikit kerana rutin harian ku adalah menjemput Hayati balik kerja. Aku minta dia 'sms' alamatnya di Banting.

Hari ini (29/05/2010) aku mendapat berita sepupu yang ku panggil Abang Yazed telah kembali menemui 'Penciptanya'.

Mengimbau kenangan bersama Abang Yazed kami sempat membesar bersama di Kg. Culek, Gopeng, Perak. Sekitar tahun 1965 kakak sulong, abang Ihsan dan aku dipindahkan bersekolah di kampong keluarga sebelah ayah kerana masalah kesihatan emak. Setelah emak sihat, ayah yang bertugas sebagai anggota polis kembali ke Klang membawa bersama emak dan dua lagi adik-adik ku. Tinggallah kami 3 beradik di kampong Culek.

Abang Yazed anak ke 3 dari 4 adik beradik (3 lelaki dan 1 perempuan - Abang Yamin, Kakak Nisah dan Abang Mohsin), selepas ibunya meninggal dunia dia 4 beradik dipelihara oleh Nenek/Opah. Dengan kehadiran kami bertambahlah tanggung jawab nenek/opah. Kehidupan waktu itu bagi mereka sangat susah, tapi jiwa kanak-kanak tidak pernah mengenal semua kesusahan itu.

Sewaktu pertemuan kami sebulan yang lalu dia sempat mengungkit cerita-cerita kenakalan kami, bermain pondok-pondok di atas pokok. Bermain api bomba yang akhirnya dari api 'olok-olok' menjadi sebesar api menjulang membakar sepohon pokok besar. Dalam keadaan kelam kabut, kami sedaya upaya cuba memadamkan api hingga keriuhan kami membangunkan nenek dari tidur.... apa lagi semuanya lintang pukang lari kena marah, waktu itu aku adalah yang paling
kecil, aku selalunya mendapat pembelaan.

Kalau nak diceritakan banyak kenangan yang kami lalui bersama, namun pergaulan kami sangat terkawal biar pun kami sangat akrab di tambah dengan kehidupan di kampong yang sunyi, kemana-mana adakalanya kami berdua saja, begitu juga dengan abang-abang sepupu yang lain...

Hari ini aku tidak pasti semua yang kami lalui sebagai anak-anak boleh di lalui anak-anak zaman ini dengan selamat tanpa berlaku perkara-perkara sumbang.

Al Fatihah untuk Yazed bin Yahya semoga mendapat Pengampunan dari Yang Maha Esa.. Amin!

1 comment:

HASSANBIN RAMLI said...

Setiap yang bernyawa pasti merasai mati. Dari Allah kita datang maka kepada Allah kita kembali. Sabar ye Pn Hanom atas kembalinya sepupu pn ke Rahmatullah