Language

December 3, 2010

Cinta Mengatasi Segalanya..

Alhamdulillah, masih dapat bernafas di bumi Allah Yang Esa. Selesai beberapa wedding di tambah dengan beberapa peristiwa blog ini tidak di sentuh agak lama. Hari ini Sabtu 4 Disember 2010 semakin hampir menjelang 2011.

Menjelang Aidil Adha yang lalu, bekas suami bapa kepada anak-anak ku telah kembali menemui penciptaNya. Tanpa pesan dan kata-kata akhir, dia meninggal sendirian di dalam kereta dalam perjalanan pulang ke rumah.

Bermadu bukan alasan aku berpisah dengan bekas suami. 24 tahun menjalani kehidupan berumah tangga bersamanya sebelum berpisah 6 tahun lalu pasti menyentuh perasaan. Seperti dulu-dulu aku kumpulkan anak-anak. Mengadap Jenazah , Alhamdulillah dengan sedikit pengetahuan yang ada, aku dan anak-anak tidak lepas dari sisinya.. doa dan zikir hadiah untuknya, namun siapalah aku hari ini... hanya seorang bekas isteri, kepada Allah aku serahkan semoga segala doa sampai kepadanya.

Kali terakhir kami bertemu anak beranak sebelum menjelang Ramadhan, dia datang sendirian, katanya nak jengok cucu. 2 tahun terakhir aku melihatnya semakin uzur, namun apalah daya untuk mengambil berat aku bukan lagi isterinya. Kerapkali bertemu anak-anak aku minta mereka ambil berat hal ayahnya, aku katakan pada anak-anak "yang berpisah/putus itu hanya umi, anak-anak adalah hak bersama dan mesti mengambil berat keadaan ibu bapa".

Mengenang perpisahan kami, aku memang selamanya tiada dendam di hati, aku keluar dari rumah yang kami bina bersama, tidak membuat sebarang tuntutan terhadap Harta Sepencarian. Di awal perpisahan boleh dikatakan aku hidup melarat. Aku gagahi demi anak-anak, mohon kekuatan dari Allah swt. Semua yang berlaku adalah ketentuan ilahi, sebagai manusia aku tiada kuasa walau sekuat mana pun cuba mempertahankan perkahwinan yang telah dibina lebih 20 tahun.

Walau apa pun yang aku rasakan, cinta mengatasi segalanya:


"Cinta tidak pernah meminta
ia sentiasa memberi
cinta membawa penderitaan namun
tidak pernah berdendam
Cinta seperti matahari,
ia tetap bercahaya
Walau malam menjelma
cahayanya pada bulan tetap menerangi
kekadang gerhana namun
akan kembali jua menerangi".

HanRahim: Di mana ada cinta di situ ada kehidupan ...

October 9, 2010

Masa lalu yang indah!

Hiasan di meja hidang tidak perlu kos yang tinggi. Warna-warni makanan cukup untuk menaikkan selera. Hujung minggu anak-anak balik, tiada yang lebih mengembirakan selain dapat menghidangkan makanan kesukaan mereka. Sebagai juadah sarapan pagi aku memilih;
  • Nasi goreng cendawan
  • Salad telur + baby tomato
  • Agar-agar sos kastad
  • Cup cakes
  • Jemput-jemput udang

Ishhh... banyaknya hidangan. Aku dan anak-anak sering menjadikan meja makan sebagai medan untuk bercerita dan meluahkan perasaan. Dari kecil anak-anak telah terbiasa dengan keadaan ini.

Mengimbau masa lalu, sebagai ibu bekerja aku sentiasa memastikan dapat makan malam bersama mereka, peluang ini aku ambil untuk lebih mendekati dan mengambil tahu hal mereka. Alhamdulillah dengan cara ini anak-anak tidak rasa terbiar dan akan lebih mesra sesama mereka adik beradik, secara tidak langsung dapat mengelakkan daripada pergaulan bebas di luar rumah.

Han Rahim: Rindu masa lalu yang indah!

September 28, 2010

Kapal Itu Penuh Muatan - "Ilusi itu indah realiti itu yang memerlukan banyak pengorbanan"

Kisah seorang kawan. 7 tahun saya pegang janji untuk merahsiakan perceraiannya. Genap 10 tahun berpisah dia jodohnya tiba dia berkahwin untuk kali kedua dan menjadi isteri kedua.

Sebelum membuat keputusan berkahwin, dia minta pandangan mengenai poligami.

Pandangan ikhlas kepada seorang kawan, saya katakan kepadanya:

"Anggaplah kamu sekarang umpama terdampar di sebuah pulau mengharapkan kapal yang lalu. Tetiba sebuah kapal yang penuh muatan berhenti dengan rela hati menumpangkan kamu"

Memilih untuk menjadi yang ke 2 tidak salah, tapi kamu kena sedar, ilusi itu indah tapi realiti itulah yang memerlukan banyak pengorbanan. Bayangkanlah kehidupan di dalam sebuah kapal yang penuh muatan, ruang yang ada amat terhad.

"Berkorban apa saja harta ataupun nyawa
itulah kasih mesra sejati dan mulia"
(teringat lagu P.Ramle dari filem Hang Tuah - sedih lagu ni)

Kalau kamu telah benar-benar bersedia, kahwinlah dengan ikhlas. Sabar dan befikir sebelum membuat sebarang tindakan. Sebagai isteri kedua jangan terlalu 'demand'. Inilah kata-kata saya 7 tahun lalu sebelum dia berkahwin lagi.

Selepas hari-hari itu dia tetap datang untuk meluahkan perasaan tidak puas hati, sebagai kawan saya berilah pandangan sekadar yang mampu untuk dia rasa selesa.

Menjelang Aidilfitri lalu dia bersedih dan menyuarakan rasa tak puas hati, katanya selama 7 tahun perkahwinan, suaminya tidak pernah menyambut Aidilfitri pertama dengannya, tidak pernah membawa dia bertemu saudara mara dan adik beradiknya. Telah lama saya jangka perkara ini akan berlaku, tapi selagi kawan saya boleh bersabar, saya diamkan saja.

Kali ini saya berterus terang dengannya. Pengalaman cukup menjadikan saya begitu yakin dengan jawapan ini, satu masa dulu saya adalah isteri pertama, ada majlis yang saya dan madu hadir bersama, kebanyakan perempuan di sekeliling saya seakan memulaukan 'madu' saya, walau pun saya sedih kerana dia adalah 'madu', tapi di dalam hati saya sangat kasihan dengannya. Terus terang saya katakan, masyarakat di Malaysia masih belum boleh menerima kehadiran isteri ke 2 (poligami).

Saya nasihatkan kawan saya agar terus bersabar, berkahwin hanya untuk suami usah fikirkan hal remeh temeh yang lain. Mengembirakan hati suami dan taat dengannya begitu besar ganjarannya. Kebanyakan suami tidak selesa memperkenalkan isteri ke2 kepada saudara mara atau adik beradik... terimalah kenyataan ini, jagalah air muka suami, kebanyakan suami-suami di Malaysia belum begitu berani demi menjaga hati isteri pertama.

Kawan, cukuplah mendapat suami yang bertanggung jawab yang tidak mengabaikan keperluan lahir dan batin, jika ada sedikit kekurangan, anggaplah ia sebagai ujian di dalam menduga kesabaran.

HanRahim: Saat ini aku masih rela bersendirian demi sekeping hati yang pernah terguris.

August 14, 2010

Hari Lahir Yang Ini...




Alhamdulillah, sempena Hari Lahir kali ini memang tak sangka dapat hadiah beg tangan dari Anak Bongsu, kagum sangat sebab dia lelaki. Pandai pula dia memilih 'brand' yang sama dengan kasut 'Primavera' yang sedia ada di rumah, itu pun dibelikan kakaknya Hidayah.

Kebetulan hari ini ada Majlis Ilmu di Masjid berdekatan, 'handbag' tersebut cukup cantik diselitkan sepasang telekung, buku catitan dan beberapa barang lain.

Terima kasih kepada anak-anak ku Hayati, Hidayah, Muhammad Hadri dan Muhammad Hafiz. Jika tiada hadiah mengiringi Hari Lahir, umi akan tetap bangga dengan kehadiran kamu berempat dan dua menantu yang sentiasa sudi mengambil berat. Di tambah pula dengan kehadiran Nurul Jannah yang semakin petah dan murah senyum.
Anak-anakku tiada yang lebih berharga di dunia ini selain meninggalkan anak-anak dan keturunan yang Soleh/Solehah yang benar-benar memahami dan berjuang kerana Islam.
"Ya Allah, jadikan lah aku, anak cucuku orang-orang yang mendirikan solat"


... Ameeen!

July 31, 2010

Mesyuarat Tingkap...

Langkah kanan, itulah rezeki namanya. Tiba di Lancang, Temerloh tepat 12.30 tengahari untuk berbincang dan beri sebutharga satu majlis perkahwinan pada Disember nanti. Kebetulan aku di pelawa untuk satu kenduri arwah dan menyambut ramadhan... memang langkah kanan.

Bukan nak cerita langkah kanan saja tapi mengenang resepi orang kampung. ishhhh kuih kauci.. tengoklah gambar, belum buka dah tahu mesti sedap cukup manis, masin dan lemaknya. Hari ini kuih kauci yang terdapat di pasaran kebanyakannya di masak terlebih dahulu sebelum dibungkus, sebab itu daun pisangnya nampak cantik dan kemas, daunnya tidak layu.

Cantik tidak dapat menandingi keenakan resepi aslinya... inilah yang dapat saya katakan.

Aduh! memang lazat masakan kampung.

Patin masak asam tempoyak, masakan popular di Temerloh dan beberapa area di Pahang. Saya kagum dengan cara ringkas menghidang makanan.

Setelah agak lama dalam arena Perancang dan pengendali majlis, adalah menjadi kebiasaan sangat mementingkan susunan hidangan teratur. Namun sesekali bebas bersidai tanpa protokol... bertambah pulaklah selera.



Inilah tuan rumahnya. Tengok apa dia buat... ohhh mesyuarat tingkap, suasana ini jarang sangat kita lihat... hulur bungkusan makanan kepada jiran yang balik.

July 11, 2010

Jemputan Penyediaan Menu Sihat


Hans Catering telah di minta menyediakan menu sihat berunsur daging. Kami telah memilih 2 resepi yang dihidangkan bersama secawan nasi putih.

1. Pan Grill Lamb
2. Meatball Spicy sauce

Untuk mendapatkan makanan seimbang kami juga telah menghidangkan Kastad Musim Panas dan Minuman Kasturi.

July 5, 2010

Cinta

Rabiatul Adawiyah berkata:
"Kekasihku tiada yang menandingiNya, Sekali pun Kekasih ku tidak dapat kupandang dengan mata, Namun Dia tetap hadir bersama degup jantungku. Dia akan kusanjung dan kupuja, sekali pun ada orang lain di sampingku. Jiwa dan hatiku kupersembahkan hanya untukNya." Begitulah bentuk cinta Ilahi yang menguasai hati; Laksana pohon dalam hati. Akarnya adalah kepatuhan kepada Allah. Dahannya ialah makrifatullah. Rantingnya takutkan kemurkaan Allah. Daunnya adalah malu kepada Allah. Buahnya ialah istiqomah. Air dan bajanya adalah zikirullah.

June 27, 2010

Hans Catering - Food Testing





Pihak pelanggan hanya minta 'food testing' bagi bubur lambuk, Hans Catering telah berbesar hati menyediakan menu lengkap mengiringi 2 jenis bubur lambuk iaitu:-

  • Bubur lambuk Daging
  • Bubur lambuk seafood
  • Karipap
  • Agar-agar celoreng koko
  • Grapes dan strawberry

June 20, 2010

Lelaki itu Yang Ku Panggil Ayah

Ketiadaan menimbul rasa kehilangan
Kerinduan tidak lagi dapat dilepaskan

Setahun lalu aku masih sempat
menyuap makanan ke mulut ayah
Dia mengangakan mulut
perlahan mengunyah sambil katanya
"Tak payahlah suap ayah, biar ayah makan sendiri,
Ayah tak mahu susahkan kelian"

Aku jawab..biarlah ayah, dulu ayah telah banyak bersusah payah untuk kami sekarang apa salahnya kami bersusah sikit untuk ayah. Dalam keadaannya yang tidak upaya mengangkat tangan, aku terus menyuapkan sekeping roti canai kesukaannya. Setelah suapan ke 4 dia tolak tangan ku, katanya "sudahlah ayah tak lalu lagi".. aku pujuk dia untuk terus makan namun dia menolak.

Ayahanda ku
dalam pejam mata ada air mengalir
akulah itu yang sentiasa merindui mu

Beg merah
yang kau galas di belakang basikal
masih segar di ingatan ku
senyum bangga menyambut aku pulang
kita beriringan berjalan
ke stesyen bas

Waktu itu...
itulah yang mampu kau berikan
tiada kereta mewah, tiada rumah besar
hanya ambil berat dan kasih sayang
yang tiada penghujung
buat anak-anak mu

Al-Fatihah dan sekalung doa untuk ayahanda ku yang telah pulang menemui Penciptanya.

June 14, 2010

Menjelang Rejab

Rejab datang lagi.. semoga semua umat Islam dapat memanafaatkan bulan rejab ini dengan sebaik-baiknya.

Kepada yang masih belum Qadha puasa (ganti puasa) eloklah dimulakan. Jadikan Rejab sebagai bulan untuk melatih diri dalam menghadapi Ramadhan.

Sabda Nabi s.a.w.: Hendaklah kamu memuliakan bulan Rejab, nescaya Allah muliakan kamu dengan seribu kemuliaan di hari kiamat.

Sabda Nabi s.a.w.: Bulan Rejab Bulan Allah, Bulan Sya'aban bulanku & bulan Ramadhan bulan umatku. Kemuliaan Rejab dengan malam ISRAK MIKRAJnya, Sya'aban dengan malam NISFUnya Ramadhan dengan LAILATUL-QADARnya.

May 29, 2010

Salam Takziah

Pada 28/04/2010 yang lalu aku telefon Abang Sepupu bertanya khabarnya. Dia baru keluar wad kerana sakit batu hempedu. Sedang rancak berbual kami sempat ketawa bersama, namun tiba-tiba dia menangis dan mengatakan "seronok hati abang adik-adik sepupu 'call' bertanya khabar, di wad selepas pembedahan abang rasa sunyi sangat" dia terus menangis. Untuk meredakan tangisannya aku berjanji untuk ke rumahnya di Banting selepas asar, mungkin lewat petang sikit kerana rutin harian ku adalah menjemput Hayati balik kerja. Aku minta dia 'sms' alamatnya di Banting.

Hari ini (29/05/2010) aku mendapat berita sepupu yang ku panggil Abang Yazed telah kembali menemui 'Penciptanya'.

Mengimbau kenangan bersama Abang Yazed kami sempat membesar bersama di Kg. Culek, Gopeng, Perak. Sekitar tahun 1965 kakak sulong, abang Ihsan dan aku dipindahkan bersekolah di kampong keluarga sebelah ayah kerana masalah kesihatan emak. Setelah emak sihat, ayah yang bertugas sebagai anggota polis kembali ke Klang membawa bersama emak dan dua lagi adik-adik ku. Tinggallah kami 3 beradik di kampong Culek.

Abang Yazed anak ke 3 dari 4 adik beradik (3 lelaki dan 1 perempuan - Abang Yamin, Kakak Nisah dan Abang Mohsin), selepas ibunya meninggal dunia dia 4 beradik dipelihara oleh Nenek/Opah. Dengan kehadiran kami bertambahlah tanggung jawab nenek/opah. Kehidupan waktu itu bagi mereka sangat susah, tapi jiwa kanak-kanak tidak pernah mengenal semua kesusahan itu.

Sewaktu pertemuan kami sebulan yang lalu dia sempat mengungkit cerita-cerita kenakalan kami, bermain pondok-pondok di atas pokok. Bermain api bomba yang akhirnya dari api 'olok-olok' menjadi sebesar api menjulang membakar sepohon pokok besar. Dalam keadaan kelam kabut, kami sedaya upaya cuba memadamkan api hingga keriuhan kami membangunkan nenek dari tidur.... apa lagi semuanya lintang pukang lari kena marah, waktu itu aku adalah yang paling
kecil, aku selalunya mendapat pembelaan.

Kalau nak diceritakan banyak kenangan yang kami lalui bersama, namun pergaulan kami sangat terkawal biar pun kami sangat akrab di tambah dengan kehidupan di kampong yang sunyi, kemana-mana adakalanya kami berdua saja, begitu juga dengan abang-abang sepupu yang lain...

Hari ini aku tidak pasti semua yang kami lalui sebagai anak-anak boleh di lalui anak-anak zaman ini dengan selamat tanpa berlaku perkara-perkara sumbang.

Al Fatihah untuk Yazed bin Yahya semoga mendapat Pengampunan dari Yang Maha Esa.. Amin!

May 22, 2010

Kali terakhir aku bertemu Aulaiyah pada 1982 di Jabatan Pengangkutan Jalan Ipoh, Perak. Walau mukanya mencuka ketika itu, tidak bermanis muka dengan aku, aku tak kisah sebab segalanya memang salah aku. Aku terlupa menghantar kad jemputan perkahwinan kepadanya, semuanya memang tidak disengajakan. Dalam menghadapi perkahwinan pada November 1980 aku terpaksa menyediakan segala-galanya sendiri kerana emak ditakdirkan menjalani pembedahan di Hospital Kuala Lumpur. Ayah pula kemalangan jalanraya ketika bertugas dan 'warded' selama 3 bulan di Hospital Ipoh.

Semalam aku menjemput Aulaiyah di pejabatnya di Putrajaya. Aku masih boleh mengenali dia walau berpuluh tahun tidak bertemu. Tak sangka Aulaiyah yang dulu kurus melidi agak berisi sekarang, maklum kami sekarang telah jauh meninggalkan zaman remaja saat mula-mula bergelar Penjawat Awam di Biro Siasatan Negara (sekarang SPRM) Ipoh dulu.

Selepas makan tengahari di Sg Merab, kami ke Alamanda mencari tempat dingin untuk lebih selesa berbual. Sambil menikmati 'Baskin Robbins' kami mengungkit kisah lama, yang pasti aku masih tidak lupa Aulaiyah pernah mengenalkan aku dengan Kapten Latif, soalan pertama yang aku ajukan kepada Aulaiyah... "di mana Latif sekarang", pasti Aulaiyah juga tidak tahu di mana dia sekarang, kerana masa telah terlalu jauh meninggalkan kami.

Aulaiyah juga sempat bertanya bagaimana aku boleh berpisah dengan Hussin. Ahhh... jodoh memang rumit untuk dipersoalkan dan aku pun tidak suka komen mengenai ini.

Bertemu Aulaiyah aku rasa impian untuk 'reunion' satu masa akan terlaksana, sebab Aulaiyah ada perasaan yang sama ingin bertemu semua kawan-kawan 'single' sewaktu di Ipoh dulu. Norli, Aulaiyah, Halim, Hamid, Mahmud, Ahmad Anuas, Hussin Mangkat (bekas suami), Yusof (suami Norli)... akan bersambung lagi!

Dalam sibuk menyediakan tempahan makan, bertemu pula kawan-kawan lama, tiba-tiba menjadikan aku lebih bersemangat.

May 18, 2010

Tangan-tangan sasa itu..

Selepas menghantar Hayati di stesyen commuter Batang Benar, saya singgah 'breakfast' di Al Salam Semarak. Sementara menunggu pesanan tiba saya sempat membaca buku terkini yang dibeli 2 - 3 hari lalu 'Keranamu Aku Cemburu". Hari ini saya tidak ingin mengulas mengenai buku ini.

Saat membaca saya terpandang seorang tua bertongkat mungkin seusia Arwah Ayah yang telah pulang pada 21/06/2009 lalu. Pandangan saya tertumpu kepadanya sehingga ia turun tangga dan masuk kedalam kereta dan kelibat keretanya hilang di pandangan. Terasa amat bahagia seorang ayah yang tidak berdaya di pimpin oleh seorang anak lelaki yang mungkin seusia saya (melihat kepada kematangan wajahnya).

Timbul rasa rindu kepada ayah yang satu masa dulu saya selalu memimpinnya, waktu itu saya terasa amat bahagia membawa ayah kemana sahaja walau terpaksa mengatur langkah perlahan.

Dalam kemelut berbagai kisah mengenai orang tua yang tidak di ambil peduli, ditinggalkan di stesyen bas, di tepi jalan dan di hantar ke rumah orang tua, masih ada anak-anak yang berhati mulia menyayangi dan mengambil berat orang tua masing-masing. Betapa saya melihat 'tangan sasa' seorang lelaki memimpin penuh kasih sayang, tatkala menuruni anak-anak tangga dia sempat memeluk ayahnya dengan hati-hati agar ayahnya tidak terjatuh dan tercedera.

Mengimbau kenangan bersama ayah, hati saya terharu sayu. Seorang ketua keluarga yang menanggung 9 anak dengan gaji seorang Anggota Polis pada ketika itu boleh dikira amat sempit. Sewaktu saya bersekolah ayah hanya dapat menghantar RM10.00 untuk belanja dan bayar yuran. Dengan duit sebanyak itu saya tidak boleh berbelanja sebenarnya, saya cuma makan makanan yang disediakan di asrama sahaja.

Itu hanyalah kisah lama yang hingga kini membuat saya rasa bangga menjadi anak yang membesar dalam serba kekurangan, adakalanya dengan kekurangan kita akan lebih beringat dan tahu menghargai. Emak juga memainkan peranan besar di dalam mencukupkan keperluan keluarga. Hari ini sekiranya ayah dan emak masih ada mereka tentu bahagia melihat anak-anak yang telah dewasa, kami 9 beradik walau masing-masing telah bekeluarga masih bertemu dan masih boleh bergurau seperti dulu, yang paling saya bangga ialah kami boleh sepakat dalam membuat keputusan......Alhamdulillah.

Han Rahim.. hati amat tersentuh mengenang ayah ibu.
Tragedi sesaat cinta

Masa silam adalah rimba kesakitan
hingga dikau tidak mampu berdiri
di laman kendiri merenung indah bulan
memancarkan jernih kekesalan
di wajahmu yang rawan.

Yang terjadi adalah tragedi
sesaat cinta yang mengubah rasa

pahit sendirian menelan segala
dia pergi entah ke mana.

Engkau bukan mereka
tega membunuh benih cinta sendiri
untuk malu yang tiada ertinya lagi
nyawa si kecil itu bukan di tanganmu
pasti ada jalan untuk segalanya ini.

Saban hari kita melihat
bayi-bayi itu mati di tangan ibunya sendiri
sedang jika benar ia bermula dengan cinta
pasti ada hikmah untuk setiap peristiwa.

Usah ditambah dosa yang ada
kembalilah berdiri menghargai diri
lelaki durjana tetap ada
walau ke mana dirimu pergi,
kekuatan diri dan agama
adalah perisainya
mereka tidak boleh melukaimu lagi.

Kamal Sujak
Sg Kapar Indah, Klang

May 16, 2010

Innalillahi wainna ilaihirajiun...

Kepada Arwah teman ku Estati, ku ungkapkan rasa kesedihan yang tidak terhingga. Sekelip mata engkau tinggalkan dunia yang fana ini berpindah ke Alam Baqa'. Pemergian yang amat mengejutkan seluruh rakyat malaysia dan sehingga kini aku tidak sanggup membaca akhbar yang memuatkan cerita tragis itu. Semoga kesakitan/kezaliman itu terbalas dengan kesenangan di sisi Allah swt.

Masih jelas di ingatan wajah tenang dihias senyum, lembut dan pemurah. Acap kali pertemuan kita ada saja buah tangan yang engkau titipkan tatkala aku meninggalkan mu. Tasbih biru yang kau beri tatkala menunai umrah pada 2003 masih ada dalam simpanan, pasti ini akan jadi kenangan selagi ada hayat ku.

Semoga mendapat keampunan dengan RahmatNya, sejahteralah engkau di sisi Maha Pencipta.. Aminnn..!!!

May 3, 2010

i
Aku berterima kasih
atas kerelaanmu mengahwiniku
sesungguhnya kerelaan itu satu keberanian
dan ada orang tidak beruntung
kerana terlalu berani.
ii
Aku telah menemui kau
bagai sebuah kolam yang terlalu jernih
kejernihan itu membuat aku malu
kerana ia jelas membayangkan
kekeruhan di tubuhku
aku bersyukur pada pertemuan ini
dan meminta maaf padamu
kerana sesekali seruling yang jauh
mencuriku dari pelukanmu.

Zurinah Hassan

April 19, 2010

Malam bersama Pak Engku

Selamat pagi semua, sampai di rumah lebih kurang 2 pagi. Terima kasih kepada Pak Engku yang sudi menjemput kami di majlis yang saya anggap sebagai suai kenal antara fan PK. Majlis cukup teratur dan berjalan lancar. Syabas kepada Pak Engku, walau teramat sibuk dia masih sempat meluangkan masa semata-mata untuk bertemu dan mengenali fan semua. Tidak lupa kepada Mak Engku yang saya kira sebagai nadi kekuatan atas segala kejayaan PK. Salam sayang dari saya untuk Pak Engku dan Family.
Bermula dengan kuiz-kuiz lagu melalui facebook Pak Engku, kebetulan lagu yang mengena adalah di antara lagu yang sering saya nyanyikan dulu-dulu. Lagu Seniman Broery 2 lagu yang saya teka tepat, iaitu Tak Ingin Sendiri dan Biar Bulan Bicara. Dah menang saya cuba teka lagu-lagu lain sekadar meriuhkan laman Pak Engku. "Senjakala" salah satu lagu P. Ramlee jadi favourite Pak Engku, yalah jiwa orang lama.. sesuai dan mengena aja tekaan saya.
Riuh rendah laman fb PK, perlumbaan mendapat hadiah dan makan malam bersama PK. Sebenarnya saya tidak bersaing untuk mendapat hadiah, cuma saya memang ingin sekali bertemu PK yang secara tidak langsung dalam bidang perniagaan yang sama dengan saya. PK memang satu nama besar di dalam Perancang Perkahwinan, walau saya tidak tahu bagaimana PK memulakan perniagaan tapi saya dapat meneka, segalanya bermula dengan minat dan usaha yang gigih.
Raut wajah tenang, bergaya dan sentiasa senyum. Kata-katanya lemah lembut dan sopan.. tak hairan bila dia minta saya 'jangan balik dulu', dengan rela saya penuhi permintaannya. Sempatlah saya menyanyi sebuah lagu bersama PK, tak silap 'Taman Firdausi' lagu Allahyarham P.Ramlee.. cukuplah sekadar suka-suka.
Sebelum semua balik PK pelawa semua yang hadir untuk sama-sama menyanyikan lagu favourite nya 'Tak Ingin Sendiri'. Lagu ni memang selalu aku nyanyikan dulu yang di popularkan oleh Heaty Koesdang.

"malam ini tak ingin aku sendiri
ku cari damai bersama bayangan mu
hangat pelukan yang masih ku rasa
kau kasih kau sayang"

Sebelum mengakhiri sempat aku katakan, lama sangat aku tidak bersosial, pelawaan dan jemputan dari PK cukup memberi ruang di dalam menambah kenalan lebih-lebih lagi mengenali Pak Engku yang 'rendah hati' walau namanya 'gah' di persada sebagai Perancang Perkahwinan.

Sekali lagi terima kasih Pak Engku.

April 15, 2010

Buat Nuqman..

Bertahun tidak mengarang samada puisi atau cerpen. Rupanya bakat yang ada masih boleh digilap. Terpanggil untuk menulis puisi khas untuk seorang kawan di FB.

Dunia cyber jika digunakan dengan baik banyak perkara yang boleh dimanafaatkan. Mengenali En. Mustafa Othman melalui laman Pak Engku Kuzie Catering, kami berlumba menjawab berbagai kuiz lagu favourite Pak Engku, secara tak langsung Mustafa yang saya panggil Mus sahaja sama-sama meriuhkan suasana, rupanya di sebalik usikan dan sakat Mus adalah sekadar mendapatkan sedikit kerehatan dengan tanggung jawab besar yang dipikul.

Tidak ramai bapa yang sanggup memikul tanggung jawab memelihara dan menumpukan perhatian sepenuh masa untuk seorang anak OKU. Pengorbanan Mus yang sanggup berhenti kerja semata-mata untuk memastikan Nuqman (anak autisme berusia 14) diurus dengan sempurna. Kami juga diberitahu bahawa Nuqman sesekali akan mencederakan diri sendiri dengan menghantukkan kepala ke dinding. Kata Mus, perutnya seperti plastik, jika leka Nuqman akan makan apa-apa sahaja yang ditemui, baru-baru ini dia memakan racun tikus.
Allah Maha Kuasa Nuqman sihat seperti sediakala.

Di bawah sebuah puisi untuk Nuqman dan keluarga yang terus sabar menatangnya.

Nuqman...
walau lahir mu tidak di pinta begini
tetap kami sediakan telaga kasih buat mu
tidak rela secalit luka
menggaris perjalanan mu di dunia ini...

Nuqman...
maha adil Tuhan Maha Pencipta
hadir mu di tatang ayah bonda
cukup istimewa...
walau tidak mendapat segala-galanya

Nuqman....
walau tidak dilahirkan sempurna
percayalah..
Lautan Firdausi menanti mu

Han's
16 April 2010 @ 2.22pm

April 2, 2010

Assalamualaikum,

Terlebih dulu ucapan takziah untuk keluarga Din Beramboi, tak sangka sedang bintang berkilau memancar populariti dia pergi untuk selamanya.

Sepanjang minggu hinggalah hari ini dilalui dengan hari-hari yang sangat sibuk. Urusan harta pusaka telah selesai, hanya menunggu cek dari PNB. Anak ke3 dari sembilan adik beradik, aku telah dilantik sebagai pemegang amanah untuk menguruskan semua harta-harta yang ayah tinggalkan. 2 bidang tanah pertanian telah di penamakan kepada kakak dan abang sulong sebagai pentadbir. Aku harap dengan kepercayaan semua adik beradik 2 bidang tanah ini ditadbir dengan baik. Semua hasil walau sedikit dapat dirasa semua adik beradik.

Wang simpanan ayah yang agak banyak juga telah dibahagi mengikut 'faraid'. Alhamdulillah.. kami 9 beradik tidak banyak menimbulkan masalah di dalam proses pembahagian ini. Kebanyakan usul diterima baik dan sangat mudah hinggalah perbicaraan di Pejabat Pesaka Kecil Kampar, Perak.

Pada awalnya aku agak risau dengan beberapa kes keluarga lain yang bergaduh besar dalam menyelesaikan hal harta pusaka. Namun, aku yakin Hanya Allah swt. yang mempermudahkan segala urusan samada di dunia atau di akhirat kelak...Amin!

Dari beberapa bulan lalu segalanya diusahakan dengan 'by hand'. Jika menunggu sampai ke riba, alamat bertahunlah prosesnya baru selesai. Kesempatan ini saya sisipkan ucapan terima kasih kepada semua yang terlibat terutama Pejabat Pesaka Kecil Daerah Kampar, Perak. Sentiasa dapat melayan dengan sopan dan senyum walau dalam kesibukan

Ketika menulis blog ini aku sedang menunggu abang sulong untuk tandatangan beberapa dokumen bank. Terkenang aku betapa modennya kehidupan hari ini, seorang 'Opah' duduk di kedai mamak bersendirian dihidangkan milo, air suam dan sebiji laptop....haaaa..aaaa. Jam baru menunjukkan jam 7.50 pagi, setengah jam lagi untuk menunggu abang di sini.

Kebetulan anak saudara yang menyewa apartment di Puchong telah mengosongkan rumah seminggu lalu kerana berpindah ke rumahnya yang baru dibeli. Sebaik dimaklumkan melalui mudah.com, bertalu-talu panggilan telefon untuk menyewa apartment tersebut. 2 - 3 tahun lalu letak banner besar pun.. adalah 1-2 orang yang call, lepas tu terus senyap, lama juga apartment tersebut tiada penyewa. Taman Putra Perdana telah banyak berubah, jalan-jalan telah mula dibesarkan, pokok-pokok yang dulu rendah sekarang telah menutup pandangan ku ke arah tasik melalui tingkap apartment.

Banyak lagi yang nak diceritakan bersama pengunjung blok ini, memandangkan batery laptop dah beri warning.. aku berhenti di sini dulu, sehingga bertemu di lain kali. salam untuk semua.

March 19, 2010

1nita

Alhamdulillah, bermula taklimat di Times Square pada 9 mac 2010 yang lalu, hari ini semua yang hadir pada hari tersebut bertemu lagi. Makmal IT sebuah menara gading telah memberi ruang kepada semua usahawan wanita dari berbagai negeri dan daerah. Semuanya hadir dengan satu hasrat, ingin maju dalam perniagaan masing-masing.

Peluang yang ada semoga dapat dimanafaatkan, mungkin ramai di antara ushanita ini satu masa dulu tidak berpeluang ke Menara Gading, namun dengan usaha gigih dan peluang yang terbuka mereka hadir di sini dengan satu tujuan, satu harapan. Bagi pihak semua saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang terlibat di dalam mengendalikan projek ini.

Melihat ramai di antaranya yang kurang mahir dengan 'mesin' paling popular dan di anggap talian penghubung di dunia tiada sempadan, alangkah berharganya peluang ini bagi mereka. Dalam usia saya hari ini, dikira saya di antara yang bertuah kerana mengenali apa itu dunia IT... Alhamdulillah.

Kepada semua wanita saya sangat berharap mereka dapat belajar dan memahirkan diri di dalam apa jua bidang.

January 11, 2010

Di mana sebaiknya...

Sementara menunggu temujanji seterusnya, saya sempat singgah di JKR, pejabat atas bukit bahagian printing menjadi pilihan. Pejabat ni satu ketika dulu sewaktu bekerja menjadi tempat 'berkubang'. Di sinilah selalunya aku menghabiskan waktu rehat dan menumpang solat. Masa terlalu cepat berlari, rakan-rakan yang dulunya rambut masih hitam kebanyakannya dah mula memutih. Ada di antaranya telah bercucu tapi orang lelaki jarang bercerita mengenai anak atau pun cucu, cuma kalau di tanya barulah mereka mahu bercerita.
Dulu saya sering menggamat suasana disini dengan berbagai cerita dan usikan. Daripada cerita semasa, aktiviti kelab hinggalah bercuti dan melancong. Makan gaji dan kerja sendiri jauh berbeza, namun walau apa pun pekerjaan mestilah di dahulukan dengan kerajinan dan usaha.
Dulu kawan-kawan tanya kenapa nak berhenti kerja? jawapan saya senang saja "saya dah tak selesa berada di 'takuk' yang sama".
Maaf kalau saya katakan, melihat kawan-kawan yang masih bekerja seperti dulu, tetap dengan kerja yang itu, itu juga, dalam hati rasa kesian. Dalam usia semakin senja memang sebaiknya kita berada di takuk yang lain.