Language

July 10, 2012

Surat-surat menghubung bicara

Rejab telah pergi, menjelang Sya'ban, pun bakal meninggalkan kita... Ramadhan begitu hampir.  Terasa begitu pantas masa meninggalkan kita.  Hati sering berbisik apakah Ramadhan kali ini dapat dijalani dengan sempurna.  Mengimbau Ramadhan setahun lalu, aku terlantar di katil, sakit yang datang tiba-tiba telah memusnahkan impian untuk merebut kelebihan Ramadhan.  Namun sakit pun ada hikmahnya, hanya Allah yang tahu.

Seperti biasa menjelang Ramadhan aku suka mengemas dan mengubah susun atur buku-buku, jumpa fail peribadi terkandung antaranya surat-surat lama bersama ayah.

Sepucuk surat yang ditulis ayah bertarikh 22.2.1988.

"Alhamdulillah surat serta wang pos anom telah diterima pada pagi sabtu 21.2.88 terima kasih atas pemberian anum, $60/- ayah berikan pada bonda yang lebihnya pada ayah."   

Hari ini RM100.00 yang ku kirimkan terasa sangat kecil, hanya itulah kemampuan aku ketika itu.  Namun besar ertinya bagi kedua orang tua.  Bukan nilai wang yang diharapkan tapi sebuah ingatan dari seorang anak.  Itulah yang aku rasakan hari ni setelah begelar ibu.

"Gembira hati kami bila dikatakan akan balik pada bulan puasa ini, lama juga tiada berjumpa ketiga-tiga cucu yang dikasihi, di peringkat usia seperti kami kerinduan terhadap cucu sering mengusik jiwa, jika kurang amal, inilah yang menyebabkan orang-orang tua selalu nyanyok.  Banyak cucu tapi bukan semua cucu dapat menghiburkan hati orang-orang tua, ada seorang dua cucu pemberian Allah boleh menghilangkan kedukaan.  Setelah meningkat tua baru ayah tahu keindahan mempunyai cucu, cucu ada satu seni dalam melewati hari-hati tua begini"

Fail peribadi ini mengumpulkan banyak surat-surat antara kami (aku dan ayah).  Waktu itu surat-suratlah menghubungkan kami.  Tiada komputer, tiada email, tiada hp.  Menggunakan telefon biasa bil nya agak tinggi, untuk bercerita panjang hanya surat-surat jadi pilihan.  Jika dibandingkan hari ni, banyak pilihan untuk berhubung dan bertanya khabar.  Sesibuk mana pun, rasanya tiada alasan untuk mengabaikan perasaan ayahbonda.  Membaca kembali surat-surat ayah, walau tidak dapat mengubat kerinduan kepada kedua orang tua... namun ada rasa kepuasan.

Menjelang Aidilfitri pasti kad ucapan di kirim:

"Ayahbonda
Dalam gema takbir dan tahmid yang sayu
Izinkanlah anakanda menghulur salam
memohon restu
kerana dalam hati anakanda
tiada apa yang paling abadi
selain doamu
Ayahbonda, tanpamu
tak mungkin anakanda mengenal erti
sebuah kehidupan..."

Al Fatihah untuk kedua Ayahbonda.